RAKYAT Singapura mempunyai identiti yang dikongsi dan ini sesuatu yang perlu diiktiraf sedang kita menerima dan menampilkan identiti individu masing-masing, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam, yang berkata identiti yang dikongsi ini menguatkan warga Singapura.
Bercakap demikian dalam wawancara radio semalam, menyusuli beberapa kejadian berbaur perkauman kebelakangan ini, Encik Shanmugam berkata isu perkauman telahpun berlaku sejak zaman dahulu di Singapura dan ini bukan sesuatu perkara yang baru.
Justeru, pemerintah dan rakyat masih perlu terus berusaha untuk menjaga keharmonian antara kaum di sini.
"Kita harus memiliki visi yang sama untuk mengatakan, lihat, kita ingin membangun sistem yang berdasarkan keadilan, kesetaraan, meritokrasi, dan di mana setiap orang dapat rasa setara, dan semua orang dapat merasa diri mereka dilindungi.
"Pemerintah memainkan peranan besar dalam menyebarkan visi itu dan bersikap adil," katanya, dalam wawancara dengan stesen radio CNA938.
Encik Shanmugam juga akur bahawa dalam masyarakat berbilang kaum, seseorang tidak dapat elak daripada menghadapi isu-isu yang membabitkan kaum.
Namun begitu, beliau menekankan bahawa tingkah laku seperti itu harus ditangani bagi memastikan meritokrasi dan bahawa semua kaum mempunyai peluang adil dan saksama.
Menambah, Encik Shanmugam berkata pemerintah sedar isu perkauman boleh dilihat melalui tiga sudut pandang, yang melibatkan garis perbezaan yang mendalam, perkauman yang ketara dan kecenderungan terhadap suatu kaum.
Beliau berkata keadaan di mana orang mempunyai kecenderungan terhadap suatu kaum bukan perbuatan perkauman.
Setiap orang mungkin mempunyai kecenderungan bagi kaum tertentu dan tindakan itu secara sendiri bukanlah sesuatu yang bersifat perkauman, tetapi jika mereka membawanya ke ruang umum dan memaksakannya ke atas orang lain, maka ia melampaui batas,"" kata Encik Shanmugam.
Baru-baru ini, seorang pensyarah kejuruteraan di Politeknik Ngee Ann (NP) Encik Tan Boon Lee telah dirakam di video semasa melontarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pasangan berlainan bangsa Encik Dave Parkash, 26 tahun dan Cik Jacqueline Ho, 27 tahun.
Politeknik itu telah menggantung Encik Tan daripada tugas mengajar dan sedang menjalankan siasatan dalaman selepas video itu timbul di media sosial pada Ahad lalu.
Semalam, beberapa bekas pelajar Encik Tan pula mendakwa beliau telah membuat mereka berasa tersinggung semasa mengadakan perbincangan tentang agama di bilik darjah.
Dalam pada itu, Encik Shanmugam berkata beliau sebelum ini yakin masyarakat di sini kian menunjukkan sikap toleran dan harmoni antara kaum, namun beberapa kejadian baru-baru ini, telah menggoyah keyakinannya itu.
Justeru, sewaktu wawancara sekitar setengah jam itu, beliau menekankan tindakan harus diambil jika sesuatu perbuatan melanggar undang-undang.
"Apabila ia berlaku di tempat awam, saya rasa anda perlu mengecam dan menentangnya.
"Kita juga harus mengambil tindakan apabila ia melanggar undang-undang, kerana perkara ini boleh merebak dan ia merosakkan nilai masyarakat kita," ujarnya.
Encik Shanmugam turut menerangkan bahawa meskipun Singapura mempunyai peruntukkan undang-undang yang ketat, ia tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian bagi setiap situasi.
Oleh itu, pemerintah dan masyarakat perlu memberikan kerjasama dalam menjaga keharmonian di sini.
"Anda tidak dapat mewujudkan keharmonian dan toleransi dan penerimaan antara kaum hanya dengan mempunyai undang-undang dan menguatkuasakannya.
"Jadi ya, undang-undang memberikannya rangka dan asas, itu penting, tetapi anda harus melakukan lebih dari itu." katanya lagi.
PAMER SIFAT PERKAUMAN SECARA TERBUKA TIDAK BOLEH DITERIMA
“Setiap orang mungkin mempunyai kecenderungan bagi kaum tertentu dan tindakan itu secara sendiri bukanlah sesuatu yang bersifat perkauman, tetapi jika mereka membawanya ke ruang umum dan memaksakannya ke atas orang lain, maka ia melampaui batas.”
AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG
“Apabila ia berlaku di tempat awam, saya rasa anda perlu mengecam dan menentangnya. Kita juga harus mengambil tindakan apabila ia melanggar undang-undang, kerana perkara ini boleh merebak dan ia merosakkan nilai masyarakat kita,”
USAH BERTINDAK BALAS
“Anda tidak seharusnya menjawab perkara yang anda anggap sebagai perkauman dengan kenyataan perkauman anda sendiri, dengan menjadi seorang yang bersifat perkauman.”
– Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam.