Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam: Semua kaum perlu bertolak ansur

Jul 25, 2021 | 05:30 AM



MENTERI Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam berkata semua kaum di Singapura perlu bersikap tolak ansur antara satu sama lain dalam mengendalikan isu-isu yang melibat kaum, kerana jika tidak dijaga dengan betul, ia boleh menjejas keharmonian kaum di sini.



Encik Shanmugam berkata Singapura telah dibangunkan berdasarkan sikap toleransi dan kesaksamaan tanpa mengira warna kulit, justeru warga perlu berhati-hati supaya fabrik sosial tidak rapuh dan terhapus.



Beliau berkata demikian dalam satu dialog mengenai isu-isu melibatkan kaum yang dianjurkan unit maklum balas pemerintah Reach dan akhbar berbahasa Cina, Lianhe Zaobao.



"Oleh itu kita harus berhati-hati. Saya harap kita tidak menuju ke arah itu. Dasar berbilang kaum kita tidak sempurna. Ia sedang diusahakan dan masih diteruskan," kata Encik Shanmugam.



Dialog dalam talian yang membincangkan peranan masyarakat Cina dalam kepelbagaian budaya di Singapura itu dihadiri lebih 200 peserta daripada pelbagai bangsa termasuk pelajar.



Encik Shanmugam berkata Singapura telah mencapai tahap keharmonian hari ini kerana sikap bertolak ansur yang diamalkan oleh rakyatnya.



Beliau menambah, keadaan di Singapura jauh berbeza dengan negara lain.



"Kita bukan macam negara lain di mana berlakunya jenayah berdasarkan bangsa dan agama. Singapura adalah tempat yang baik lagi aman dan terdapat keharmoniam kaum dan agama,'' tambahnya.



Dialog tersebut, antara lain, turut membincangkan kedudukan majoriti kaum Cina di sini dan tanggapan mereka mempunyai 'keistimewaan'.



Encik Shanmugam turut menyentuh tentang dasar pemerintah untuk melindungi masyarakat minoriti melibatkan beberapa langkah yang telah diambil termasuk menubuhkan Majlis Presiden bagi Hak Minoriti, Kawasan Undi Perwakilan (GRC) dan Dasar Integrasi Etnik (EIP)



Mengenai isu sekolah Rancangan Bantuan Khas (SAP) Encik Shanmugam berkata meskipun akur bahawa sekolah SAP akan dapat memberi kebaikan kepada Singapura terutama dengan kemunculan China sebagai ekonomi kedua terbesar dunia, adalah perlu untuk pelajar daripada sekolah itu berinteraksi dengan kaum minoriti.



Justeru beliau menyarankan agar pelajar sekolah tersebut mengadakan usaha menjalankan interaksi dengan pelajar kaum lain supaya mereka dapat mempunyai perasaan empati terhadap golongan minoriti memandangkan kebanyakannya kelak bakal memegang jawatan tinggi di perkhidmatan awam.



Encik Shan juga melahirkan keprihatinan terhadap gesaan bahawa kaum terbesar di sini mempunyai hak menetapkan arah tuju Singapura seperti dalam pendidikan dan bahasa.



Menurutnya, ia bercanggah dengan prinsip yang dipegang utuh oleh Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan pasukannya yang menentang sebarang bentuk cauvinisme dalam setiap kaum.



"Saya ingin beritahu kaum majoriti, jika kita bertukar arah, kaum minoriti akan menderita tetapi negara juga akan menderita dan kaum Cina juga akan menderita. Saya harap kita tidak perlu melaluinya," kata beliau.



Encik Shanmugam turut ibaratkan Singapura sebagai tiga bola dalam satu gelanggang - 74 peratus, 15 peratus, lapan peratus dan bakinya merupakan masyarakat Serani.



Menurutnya, jika kesemua tiga bola itu bertembung, satu bola akan sentiasa meraih kemenangan.



"Kita mencapai apa yang kita kecapi hari ini kerana banyak tolak ansur dan pemerintah telah menguasai gelanggang itu sebagai orang tengah dan pengadil yang jujur dan cuba untuk membangunkan semua kaum bersama," katanya.



Berhubung pertanyaan mengenai keperluan makanan halal dalam sesuatu acara, Encik Shanmugam berkata ia bergantung kepada konteks dan keadaannya.



Penganjur harus sensitif jika terdapat keperluan masyarakat Melayu dan Islam, dan jika terdapat keperluan masyarakat Cina.



"Kedua-dua pihak perlu bertolak ansur. Itu kunci utamanya. Itulah cara bagaimana kita melakukannya selama ini."



Ditanya mengenai pos di Facebook oleh seorang bekas pegawai awam Donald Low yang menyatakan hak istimewa Cina menjadi bukti apabila akhbar Lianhe Zaobao tidak menyatakan bahawa kes Covid-19 berlaku di KTV kerana lelaki Cina tidak berkelakuan baik, Encik Shanmugam berkata masyarakat tidak harus memberikan komen tentang sesuatu jenayah itu berdasarkan kaum kerana ini akan menyebabkan sterotaip.



Beliau juga mengingatkan warga agar berhati-hati dalam membincangkan isu melibatkan kaum dan agama kerana terdapat risiko yang besar dan orang ramai akan memberi reaksi tanpa logik.



"Ia merupakan isu emosi dan orang ramai boleh mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan, nadanya dan bahasanya," tambah beliau.



Beliau turut menekankan bahawa Singapura merupakan sebuah negara yang aman dan selamat, tidak seperti beberapa negara lain.



Menurutnya, Singapura tidak mempunyai keadaan di mana terdapat kes-kes jenayah kebencian, malah kes melibatkan isu perkauman di sini adalah rendah.



"Singapura merupakan negara yang baik dan aman dengan keharmonian kaum dan agama yang baik. Rakyatnya memahami perkara asas ini," ujarnya.



Selain Encik Shanmugam, terdapat empat panelis lain yang turut hadir semasa webinar tersebut.



Mereka termasuk Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; Konsultan Harry Elias Partnership Encik Hee Theng Fong; Presiden Perseketuan Persatuan Klan Cina Singapura, Encik Tan Aik Hock; dan pelakon/pengarah, Encik Tay Ping Hui.



Sesi itu dipengerusikan oleh Editor Politik Lianhe Zaobao, Cik Ho Sheo Be.




PANDANGAN SHANMUGAM



Singapura meliputi tiga bola dalam satu gelanggang



"Singapura meliputi tiga bola dalam satu gelanggang - 74 peratus, lapan peratus dan 15 peratus dan bakinya yang lebih kecil bagi masyarakat Serani.

Jika kesemua tiga bola itu bertembung, satu bola akan sentiasa meraih kemenangan.

Kita mencapai apa yang kita kecapi hari ini kerana banyak tolak ansur dan pemerintah telah menguasai gelanggang itu sebagai orang tengah dan pengadil yang jujur dan cuba untuk membangunkan semua kaum bersama.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >