Shanmugam: SG tingkat keselamatan susuli insiden ganas Perancis, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Shanmugam: SG tingkat keselamatan susuli insiden ganas Perancis

37 individu telah disiasat pihak berkuasa, termasuk 14 warga setempat atas kegiatan ancam keharmonian masyarakat
Nov 25, 2020 | 05:30 AM

PIHAK berkuasa setempat telah mempertingkat langkah keselamatan di Singapura menyusuli serangan pengganas di beberapa negara ekoran penerbitan semula kartun yang mempersenda Nabi Muhammad saw oleh majalah Charlie Hebdo di Perancis pada 1 September lalu, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam.

Ini bagi mengelak sesetengah pihak daripada meniru perbuatan itu.

Malah, sejauh ini, 37 orang telah disiasat pihak berkuasa, termasuk 14 warga Singapura dan 23 warga asing.

Daripada 23 warga asing itu, 16 orang juga telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Ini menyusuli langkah Home Team mempertingkat keselamatan sejak awal September lalu, dengan polis meningkatkan kehadiran mereka dalam masyarakat manakala Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pula meningkatkan pemantauan untuk mengesan mereka yang disyaki radikal.

Berita Popular

Semasa berucap di Seminar Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) Ke-16 di Masjid Khadijah semalam, Encik Shanmugam menarik perhatian pentingnya usaha seluruh masyarakat, termasuk pemimpin masyarakat dan kumpulan seperti RRG, untuk melindungi masyarakat daripada ekstremisme dan pengganasan.

Meskipun jenis ancaman pengganasan telah berubah sejak tahun lalu, dengan kumpulan militan ISIS kini kehilangan banyak kawasan fizikalnya serta beberapa pemimpin utamanya terbunuh, beliau berkata ancaman pengganasan terus wujud.

ISIS kini beroperasi sebagai sebuah rangkaian terselindung, dengan propagandanya di media sosial terus membuat sesetengah orang menjadi radikal dan mendorong mereka melakukan serangan di serata dunia, termasuk di Asia Tenggara.

Sedang usaha memerangi pengganasan di rantau ini telah mengurangkan jumlah serangan pengganas, Encik Shanmugam berkata pengganas di rantau ini turut membuat pelbagai penyesuaian dan mengubah cara mereka beroperasi.

Tambahnya, beberapa serangan pengganas baru-baru ini, termasuk di Perancis dan Austria, juga menunjukkan bahawa ancaman pengganasan masih ada.

Serangan itu termasuk kejadian melibatkan guru sekolah Perancis, Encik Samuel Paty, yang kepalanya dipenggal oleh seorang remaja Chechen berusia 18 tahun selepas beliau menunjukkan kepada pelajarnya kartun yang diterbitkan majalah Charlie Hebdo itu.

Selepas kejadian itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan mempertahan hak menerbitkan kartun itu di Perancis.

Ini mengundang reaksi besar daripada Muslim di serata dunia, dengan sesetengah mereka menyifatkan tindakan Perancis sebagai Islamofobik.

Golongan jihadi pula menggesa pengikut mereka menyerang kepentingan Perancis dan sesiapa yang menghina Islam mengikut definisi mereka.

"Kita tahu jihadi tidak mewakili Islam dan ada orang begitu dalam setiap agama yang menggunakan keganasan.

"Oleh itu, masalahnya bukan dengan sebarang agama... tetapi bagaimana untuk menangani mereka," kata Encik Shanmugam.

Tambahnya, Singapura mempunyai undang-undang untuk memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura dan undang-undang itu sentiasa dikemas kini untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan.

Encik Shanmugam turut menarik perhatian pentingnya kerjasama masyarakat dalam usaha memerangi pengganasan.

Tambahnya, suara berwibawa yang tenang dan boleh dipercayai diperlukan untuk menenangkan keadaan serta mengatasi ucapan berbaur benci.

"Sebagai contoh, RRG mengeluarkan kenyataan sejurus selepas serangan di Perancis untuk mengutuk perbuatan ganas itu dan menggesa orang ramai agar tidak memberi peluang kepada ekstremis selain tidak membenarkan perbuatan itu merosakkan keharmonian sosial kita," ujarnya

Encik Shanmugam turut menarik perhatian usaha RRG menggiatkan usaha mendekati masyarakat termasuk menerusi ceramah dalam talian, rencana dan video animasi di pelbagai wadah media sosial.

RRG juga melancarkan pandangan 360 darjah Pusat Sumber dan Kaunseling (RCC) mereka semalam dan telah berbincang dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta Warees berhubung rancangan memperluas RCC pada masa akan datang.


Laporan lanjut: 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map