Shanmugam: S'pura tidak dapat penuhi permintaan M'sia, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:44
Syuruk
7:02
Zuhur
1:07
Asar
4:19
Maghrib
7:10
Isyak
8:20
Setempat0

KECUALIKAN WARGA MALAYSIA DARIPADA HUKUMAN GANTUNG

Shanmugam: S'pura tidak dapat penuhi permintaan M'sia

May 25, 2019 | 05:30 AM

SINGAPURA tidak dapat penuhi permintaan Malaysia untuk mengecualikan warga Malaysia daripada hukuman gantung jika mereka ditangkap di Singapura atas kesalahan masing-masing.

Ini akan mengurangkan keberkesanan pelaksanaan undang-undang di sini, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, sewaktu berucap di Seminar Pelan Kerja Biro Narkotik Pusat (CNB) yang berlangsung di Akademi Home Team semalam.

Encik Shanmugam berkongsi bahawa sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan Malaysia kira-kira setahun lalu, Singapura telah menerima tiga permintaan untuk membatalkan hukuman gantung yang dikenakan ke atas warga Malaysia, dengan dua daripadanya adalah disebabkan pengedaran dadah.

"Biar saya berterus terang. Tidak mungkin kami melakukan demikian walau sebanyak mana pun permintaan yang kami terima," katanya.

Beliau turut merujuk kepada kes warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman, 31 tahun, yang dihukum gantung baru-baru ini akibat mengedar dadah.

Berita Popular

Encik Shanmugam berkata bahawa jumlah heroin yang dibawa masuk lelaki itu seperti 4,000 batang straw heroin, boleh "menyuap" ratusan orang selama seminggu.

"Orang seperti itu seolah-olah 'berniaga' dengan maut, tiada keraguannya,'' katanya.

Encik Shanmugam mendedahkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Malaysia, Datuk Liew Vui Keong, telah menghubungi pemerintah Singapura mengenai kes ini.

Beliau akan menulis dengan lebih terperinci kepada Malaysia setelah kes pengedar dadah Malaysia itu diselesaikan.

"Pemerintah Pakatan Harapan - khususnya beberapa menteri - secara ideologi menentang hukuman mati, dan kami perlu hormat keputusan mereka. Pada masa yang sama, kami melaksanakan hukuman mati di Singapura dan saya harap Malaysia akan menghormati juga kedudukan kami,'' katanya.

Sewaktu berucap di seminar tersebut, Encik Shanmugam mendedahkan bahawa tahun lalu, hampir 30 peratus pengedar dadah yang ditangkap adalah warga Malaysia, dan hampir 30 peratus jumlah heroin yang dibawa masuk ke Singapura dilakukan oleh warga Malaysia.

Satu daripada lima pengedar dadah yang membawa masuk dadah sehingga boleh dikenakan hukuman mati adalah warga Malaysia.

"Bagaimana kami mahu mengambil tindakan ringan terhadap warga Malaysia apabila berhadapan dengan perangkaan sebegini? Jika kami lakukan demikian, apakah maknanya undang-undang? Ia akan jadi bahan lawak jika kami ambil tindakan ringan setiap kali ada permintaan," jelas Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menyarankan Malaysia perlu mengatasi punca masalah itu, dan pada masa yang sama, bekerjasama dengan Singapura.

"Kami tangkap ramai warga Malaysia di sempadan kami. Ia juga baik jika Malaysia dapat berkongsi dengan kami berapa ramai yang mereka tangkap," kata Encik Shanmugam yang akan mengajukan pertanyaan tersebut dalam tulisannya kepada Datuk Liew.

Beliau menambah bahawa jika Malaysia dapat memastikan pengedar dadah ditangkap sebelum mereka tiba di Singapura, ia akan membantu kededua Malaysia dan Singapura.

"Pengedar dadah itu tidak perlu menghadapi hukuman mati - mereka boleh 'disimpan' di Malaysia," katanya.

Selain itu, Encik Shanmugam akan menyarankan kepada kerajaan Malaysia agar meuar-uarkan penaliti pengedaran dadah Singapura di kalangan kumpulan yang berpotensi untuk mengedar dadah di Malaysia. Merujuk kepada kumpulan ini, beliau berkata mereka kebanyakannya miskin, kurang berpelajaran dan berbangsa India.

Beliau berkongsi ia akan membantu jika Malaysia cuba memperbaiki situasi dan mengatasi masalah yang dihadapi kumpulan ini.

Tegasnya lagi: "Meminta Singapura untuk tidak menjalankan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah sama sekali tidak boleh dilakukan."


"Biar saya berterus terang. Tidak mungkin kami melakukan demikian walau sebanyak mana pun permintaan yang kami terima... Pada masa yang sama, kami melaksanakan hukuman mati di Singapura dan saya harap Malaysia akan menghormati juga kedudukan kami... Bagaimana kami boleh ambil tindakan ringan terhadap warga Malaysia apabila berhadapan dengan perangkaan sebegini? Jika kami lakukan demikian, apakah maknanya undang-undang? Ia akan jadi bahan lawak jika kami ambil tindakan ringan setiap kali ada permintaan,''
- Encik K. Shanmugam, berhubung permintaan Malaysia mengpecualkan warganya daripada hukuman gantung, dan hampir 30 peratus pengedar dadah yang ditangkap adalah warga Malaysia. Begitu juga hampir 30 peratus jumlah heroin yang dibawa masuk ke Singapura dilakukan oleh warga Malaysia.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map