SINGAPORE Airlines (SIA) telah melarang para penumpangnya dari membawa skuter elektrik hoverboard dalam semua penerbangannya - sama ada dimasukkan dalam perut pesawat atau dibawa masuk dalam kabin.
Dalam kenyataannya, syarikat tersebut berkata ia dilarang atas sebab-sebab keselamatan.
SIA berkata ia melarang penumpang membawa bateri lithium dengan kuasa watt-jam lebih 160 atau kandungan linthium lebih 8 gram, termasuk segway elektrik dan basikal elektrik.
Subsidiari SIA, Tiger Airways, juga melarang hoverboard,uniwheel dan skuter elektrik dalam penerbangannya.
Syarikat penerbangan lain juga telah melarang alat-alat tersebut selepas Pesuruhjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat berkata ia sedang menyiasat sekurang-kurangnya 10 kes kebakaran membabitkan hoverboard, lapor akhbar Wahington Post pada 10 Disember lalu.
Hoverboard merupakan hadiah paling popular semasa musim perayaan ini.
Namun, ia dilarang di syarikat-syarikat penerbangan British Airways, Virgin America, Alaska Airlines, JetBlue, Delta, American dan United.
Malaysia Airlines juga melarangnya minggu lalu.