Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) bermula sebagai Jawatankuasa Penyelaras Ejaan Bahasa Melayu pada 1981 sebelum menjadi Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura (JBMS) pada 1983. Pada 1992, JBMS dinaik taraf menjadi MBMS, menjadi badan utama dan peneraju usaha membangun bahasa Melayu di negara ini. BERITA MINGGU menemu bual pemimpin dan aktivis MBMS dahulu dan sekarang, mengenai perkembangan MBMS serta bahasa Melayu di Singapura. Ikuti laporan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg).
PERJUANGAN bahasa Melayu mempunyai kesinambungan yang baik di Singapura, dengan pemimpin generasi baru mengambil langkah segar dan agresif untuk membangun bahasa itu di negara ini.
Menyatakan demikian, pengerusi pertama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Haji Sidek Saniff, turut meluahkan rasa syukur dan bangga terhadap kemajuan itu.
"Pemimpin sekarang amat berbeza dan mereka rata-ratanya berpendidikan Inggeris tetapi mereka mengambil langkah baru yang positif," ujar Haji Sidek, yang juga mantan Menteri Negara Kanan Pendidikan.
Beliau menyebut beberapa inisiatif seperti Duta Bahasa, yang mengiktiraf individu yang giat menghidupkan bahasa Melayu, serta sambutan Bulan Bahasa yang kian meningkat setiap tahun.
Langkah yang diambil itu adalah lebih agresif dengan lebih banyak dana yang disediakan pemerintah, kata Haji Sidek.
Haji Sidek turut meluahkan penghargaannya kepada pemimpin dan guru yang gigih memelihara bahasa baku, yang beliau akur merupakan isu sensitif.
Mengulas tentang bahasa baku, Haji Sidek berpendapat sebutan baku menambah satu lagi keragaman kepada cara bahasa Melayu dituturkan di Singapura.
Meskipun pembakuan bertujuan menyeragam penggunaan bahasa dalam perhubungan formal atau rasmi, ia tidak pernah bertujuan 'mematikan' ragam bahasa yang lain.
Haji Sidek gembira melihat generasi muda yang selesa menggunakan bahasa baku.
"Umpamanya, cucu saya sendiri - betapa selesa mereka menggunakan sebutan baku apabila membaca kitab selepas sembahyang bersama, tetapi sesudah itu mereka cakap seperti biasa (tidak baku).
"Baku tidak mematikan bahasa Riau. Bahasa Riau juga tidak pernah mematikan bahasa ibunda atau dialek lain," ujar Haji Sidek.
Sememangnya, pelaksanaan bahasa baku berkait rapat dengan penubuhan MBMS.
Pada 1992, Haji Sidek mengumumkan perubahan Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura (JBMS) menjadi MBMS di sebuah Simposium Sebutan Baku.
Sebutan baku dilaksanakan di sekolah Singapura pada 1993 dan digunakan di radio dan televisyen mulai 1995.
Semasa berucap di Simposium Sebutan Baku pada 1992 itu, Haji Sidek berkata usaha pembakuan merupakan usaha menyeragamkan bahasa, usaha menentukan kod-kod yang diterima dan digunakan supaya menjadi kerangka rujukan dalam menuturkan dan menulis bahasa yang baik dalam komunikasi formal atau keperluan rasmi.
"Dengan kata lain, dalam keadaan tidak formal, pengguna bolehlah menggunakan ragam bahasa yang mereka suka," katanya waktu itu.
Sejak sebutan baku itu diterapkan, Singapura sudah mula melihat hasil pendidikan ini, kata Profesor Madya Hadijah Rahmat dalam satu rencana yang diterbitkan Berita Harian pada 2012.
Dr Hadijah menyebut tentang kajian tesis sarjana oleh Cikgu Pairah Satariman pada 2007 ke atas sejumlah 300 pelajar menengah tiga dan 76 guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah menengah, yang menunjukkan bahawa 88.3 peratus pelajar mendapati sebutan baku membantu mereka dalam bacaan dan ejaan, sekali gus membantu mereka mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah.
Haji Sidek akur ramai yang masih tidak selesa dengan penggunaan bahasa baku tetapi "kita tidak harus terjebak dengan hujahan tidak cermat mengenainya".
"Saya pernah dengar di tengah-tengah perbincangan bahasa baku, ada orang cakap, 'Penatlah cakap bahasa baku. Asyik 'ah-ah', mulut selalu terbuka.'
"Kepada mereka yang cakap begitu, saya berkata: Ini seolah-olah menyindir orang Indonesia, dan mungkin awak sudah menghina sebutan itu yang -wujud sejak berkurun-kurun.
"Dan bukankah bacaan Al-Quran dalam bahasa Arab moden dan standard (fushah) banyak 'ah-ah'-nya juga?" ujar Haji Sidek.
Mengimbas lebih 20 tahun sejak pelaksanaan sebutan baku di sini, Haji Sidek berkata keputusan itu memang tepat mengikut keadaan dan keadaan waktu itu.
"Bahasa baku tidak merosakkan bahasa Riau khususnya. Bahkan ia merupakan perhiasan terindah dalam bahasa Melayu itu sendiri," ujar Haji Sidek.