DENGAN landskap dadah yang pesat berubah, sikap yang kian bertambah liberal khususnya di kalangan belia menampilkan cabaran penting bagi Biro Narkotik Pusat (CNB), kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim semalam.
Trend sejagat membenarkan ganja dan dadah psikoaktif baru (NPS) dari segi undang-undang merupakan dua lagi ancaman penting.
Dr Faishal berkata demikian semasa berucap di seminar pelan kerja tahunan CNB yang berlangsung di dalam talian tahun ini.
Beliau menarik perhatian bahawa tiga daripada setiap lima penyalahguna dadah baru yang ditangkap tahun lalu berusia bawah 30 tahun.
"Hasil tinjauan awam menunjukkan bahawa kebanyakan belia sedar akan bahaya dadah dan menyokong agar pendekatan tegas diambil terhadap dadah.
"Namun, terdapat tanda yang menunjukkan bahawa lebih ramai belia kian berpandangan lebih liberal," ujarnya.
Beliau merujuk kepada satu tinjauan yang dijalankan pada 2019 oleh Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) yang menunjukkan bahawa 79 peratus responden berusia bawah 30 tahun menyokong pendirian Singapura menolak dadah sepenuhnya, berbanding 84 peratus responden berusia 31 tahun ke atas yang berpendapat sedemikian.
Dr Faishal berkata Internet dan wadah media sosial membuat belia lebih terdedah kepada pandangan dan dasar liberal seperti strategi mengurangkan bahaya dan menganggap penyalahgunaan dadah sebagai bukan kesalahan jenayah.
Beliau turut menarik perhatian bagaimana budaya pop menyumbang kepada situasi di mana penyalahgunaan dadah dianggap perkara biasa, malah glamour, dan kemudian memberi tanggapan salah bahawa dadah tidak berbahaya seperti yang sebenarnya.
CNB bekerja rapat dengan industri seni dan hiburan serta Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) jika perlu berhubung syarat pelesenan yang wajar bagi persembahan.
Malah menurut Dr Faishal, CNB juga boleh memberi saranan untuk menghalang individu yang menyokong dadah daripada membuat persembahan di Singapura, agar tidak memberi mereka wadah untuk mendekati dan mempengaruhi penduduk setempat.
Beliau turut menarik perhatian gerakan antarabangsa membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan riadah, dengan Canada dan Uruguay membenarkannya dari segi undang-undang.
Beberapa kawasan di Amerika juga membenarkannya sementara di Thailand pula, ganja dibenarkan dari segi undang-undang bagi 'kegunaan perubatan', kata Dr Faishal.
"Bahaya ganja itu jelas. Kesan buruk yang dikaitkan dengan penggunaan ganja buat jangka masa panjang - khususnya risiko masalah kesihatan mental yang lebih tinggi seperti keresahan, kemurungan dan penyakit psikotik - sudah diketahui.
"Pada masa yang sama, tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa ganja mentah berkesan merawat sebarang masalah perubatan," ujarnya.
Namun, masih terdapat pihak pro ganja yang melobi kuat baginya, dengan didorong kepentingan komersial.
Tambahnya, adalah membimbangkan juga terdapat pertubuhan antarabangsa yang menyokong naratif serupa, dengan jawatankuasa pakar Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi kebergantungan dadah membentangkan saranan untuk mengurangkan kawalan bagi bahan berkaitan ganja tahun lalu.
Dr Faishal berkata perkembangan ini akan menjejas pendekatan Singapura yang menolak dadah sepenuhnya.
Malah, NPS semakin berleluasa, dengan lebih 1,000 bahan ini dikesan pada Disember 2000, berbanding 166 NPS yang dikesan pada 2009.
Dr Faishal juga berkata CNB akan memanfaatkan teknologi dan wadah analitik sebagai sebahagian tumpuannya memastikan penguatkuasaan yang berkesan.
Antara lain, Dr Faishal berkata aplikasi diari mudah alih yang akan digunakan pegawai akan mempertingkat usaha merakam butiran kes dan bukti di tempat kejadian, dengan maklumat ini boleh diakses pihak relevan dengan mudah bagi tindakan susulan.