Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sikap positif 'rahsia' awet muda Junainah M. Amin

Aug 10, 2019 | 05:30 AM



WAJAH comel penyanyi veteran Junainah M. Amin yang sentiasa dihiasi senyuman, membuat ramai peminat tertanya-tanya apakah rahsia awet muda yang diamalkannya.



Pada usia 66 tahun, ramai yang akur penyanyi bersuara lunak manja ini memang kelihatan awet muda.



"Tidak ada rahsia... mungkin pada dasarnya saya ni orangnya lebih bersifat positif... selalu gembira. Jarang saya ikutkan perasaan negatif seperti susah hati, marah atau sedih. Setiap kali keluar rumah, saya pasang sikap untuk bersyukur dan bergembira," ringkas jawapan penyanyi yang mesra disapa "Kak Jun" oleh peminat dan rakan-rakannya.



Popular dengan lagu KuSayang Pada Mu, Ratu Dunia Mu, Ikutku Menyanyi ini, Junainah merupakan segelintir artis era 1970-an dan 1980-an yang masih sering mendapat undangan menyanyi sehingga sekarang, sama ada di Malaysia mahupun Singapura.



Mula menyanyi sejak zaman persekolahannya pada 1969, beliau pernah menyertai beberapa pertandingan dan membuat persembahan di majlis kahwin sehingga bakatnya dikesan penggubah lagu terkenal, Allahyarham Kassim Masdor, yang kemudian membawanya ke syarikat EMI Singapura.



Bersama EMI, beliau menghasilkan dua LP dan lima EP.



Beliau kemudian menyertai Kassim Masdor ketika penggubah itu menubuhkan syarikat rakamannya sendiri iaitu Senada Record.



Menyingkap kisah kehidupannya ketika mula-mula menyanyi dulu, Junainah berkata sementara minatnya dalam seni tidak ditentang ibu bapanya, beliau tetap mendapat halangan daripada datuknya yang memang rapat dengannya.



"Datuk akan marah dan membebel setiap kali saya keluar rumah untuk undangan menyanyi. Dia selalu tanya... berapa duit yang kau dapat daripada hasil nyanyi?"



Sebelum beliau bergiat dalam bidang seni nyanyian secara solo pada awal 1970-an, Junainah pernah mengikuti beberapa kumpulan band.



Beliau pernah bernyanyi bersama kumpulan Impian Bateks bersama sepupunya, Rudyn Alhaj, dan kumpulan The Nite Walkers bersama Mike Ibrahim.



Pernah terlibat dalam penerbitan filem seperti filem Pendekar, yang mana beliau telah meminjamkan suaranya untuk watak yang dipegang oleh pelakon Teh Faridah.



Filem itu turut menghasilkan album di bawah terbitan Ahmad Nawab yang beliau sifatkan sebagai menarik kerana beliau menyanyikan lagu-lagu ciptaan baru secara keseluruhannya dan juga memuatkan pelbagai konsep.



Beliau juga pernah berlakon dalam dalam filem komedi Keluarga Si Comat arahan Aziz Sattar dan juga sebagai bintang undangan dalam filem Hapuslah Air Matamu arahan Deddy M. Borhan.



Sementara beliau bersyukur kerana masih mendapat tempat dalam persada seni, Junainah akui kadangkala beliau berasa sedih melihat bagaimana penyanyi seangkatannya kurang diberi layanan dan bayaran yang sesuai dengan pengalaman mereka.



"Saya faham sekarang penganjur acara lebih sukakan penyanyi muda. Tetapi mereka juga tahu bahawa penyanyi 70-an dan 80-an masih ramai peminat dan boleh tarik orang ramai untuk hadir di acara mereka. Tak ada yang lama, tak adalah yang baru.



"Justeru, hormatilah orang-orang lama dengan layanan yang wajar dan bayaran yang sepatutnya," ujar penyanyi yang juga popular dengan lagu Suasana Riang Di Hari Raya.



Beliau bersyukur kerana Allah masih memberinya kesihatan dan kemampuan untuk terus menyanyi berbanding dengan beberapa orang teman seangkatannya.



"Ramai yang tidak mahu sambung menyanyi atas sebab-sebab tertentu.



"Ada juga yang sudah tidak ada tenaga bernyanyi kerana kurang sihat.



"Namun bagi saya, saya bersyukur sebab masih lagi sihat dan boleh bernyanyi.



"Kadangkala saya sedih sebab ada rakan seperjuangan saya tidak dapat sambung bernyanyi kerana mengalami masalah kesihatan" ujar beliau.



Pada 16 Ogos ini, beliau akan menjadi tetamu artis yang pertama akan muncul dalam siri sesi "90 Minit Bersama" anjuran bersama Berita Harian, Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) dan Wisma Geylang Serai.



Acara itu akan menjadi wadah kepada artis undangan untuk mendekati peminat dalam suasana santai dan intim, dalam berkongsi pengalaman dan perjalanan sebagai anak seni. Beliau juga akan membuat persembahan menghiburkan peminat.



Tiket masuk $20 boleh didapatkan di pintu masuk.




"Saya faham sekarang penganjur acara lebih sukakan penyanyi muda. Tetapi mereka juga tahu bahawa penyanyi 70-an dan 80-an masih ramai peminat dan boleh tarik orang ramai untuk hadir di acara mereka. Tak ada yang lama, tak adalah yang baru. Justeru, hormatilah orang-orang lama dengan layanan yang wajar dan bayaran yang sepatutnya.''
- Penyanyi veteran Junainah M. Amin.




BUTIR ACARA



Bila: Jumaat, 16 Ogos



Masa: 8-10 malam



Tempat: Project Studio, Tingkat 4, Wisma Geylang Serai



Tiket masuk: $20 (Tiket hanya boleh dibeli di pintu masuk)



Setiap pemegang tiket akan menerima beg hadiah dari BH.



Untuk maklumat lanjut, e-mel kepada Ismawati Ismail di iismail@sph.com.sg atau hubungi talian 6319-5495.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >