Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN KEBAKARAN DI JALAN BUROH

'Silinder gas tercampak, rasa seperti gempa'

Jun 26, 2019 | 05:30 AM



BARU sekitar dua bulan Lans Koperal (LCP) Muhammad Fazlan Rozali bertugas di Balai Bomba Pulau Jurong.



Namun, tanpa disangka, peluang datang bagi beliau berbakti dalam insiden kebakaran gas petroleum cecair (LPG) terbesar di sini di Jalan Buroh baru-baru ini.



Mengimbas kembali kejadian yang berlaku Jumaat lalu itu, LCP Fazlan, anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) berusia 20 tahun, berkata beliau masih tidak dapat melupakan letupan dan dentuman di tempat kejadian.



"Sejurus menaiki Red Rhino (di balai bomba), saya sudah lihat kepulan asap hitam.



"Saya cuba beritahu Encik dan kru tetapi mereka tidak melihatnya hingga kami tiba lebih dekat di tempat kejadian.



"Apabila tiba di tempat kejadian, walaupun kami hanya di jalan rayanya, kami sudah boleh rasa haba. Ia sungguh panas.



"Kami lihat silinder juga berterbangan dan jatuh, dan tanahnya bergegar. Rasa seperti gempa bumi," katanya, yang kemudian bergegas mengambil peralatan untuk mendapatkan bekalan air daripada pili bomba berdekatan.



Beliau dan tiga pegawai lain dari Balai Bomba Pulau Jurong merupakan kumpulan pertama yang tiba di tempat kejadian.



Walaupun takut pada mulanya, LCP Fazlan mencekalkan hati supaya dapat fokus menjalankan tugas dengan sempurna dan memastikan semua selamat.



Beliau antara sembilan pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang mengongsi pengalaman memadamkan kebakaran di Jalan Buroh itu, yang seluas dua padang bola sepak, bersama media semalam.



SCDF menerima panggilan tentang kebakaran yang berlaku di 43 Jalan Buroh sekitar 5.10 petang pada 21 Jun lalu.



Kebakaran itu melibatkan ratusan silinder LPG pelbagai saiz, dengan api sudah merebak dengan pantas.



SCDF mengerahkan pelbagai aset ke sekitar kawasan terjejas demi mengawal api daripada merebak.



Sebanyak 35 kenderaan kecemasan dan sekitar 120 pegawai daripada beberapa balai bomba termasuk dari Jurong, Pulau Jurong, Bukit Batok dan Clementi, telah dikerahkan dalam kejadian itu.



Sewaktu operasi melawan api itu berada di kemuncak, SCDF telah menggunakan tujuh jet air, termasuk mesin melawan api tanpa pemandu untuk mengawal kebakaran.



Seorang mangsa ditemui mati di tempat kejadian manakala dua mangsa lain dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).



Seorang mangsa yang tercedera sudah keluar hospital manakala seorang lagi masih menerima rawatan.



Operasi melawan api dijalankan secara teliti, terutamanya kerana terdapat satu lagi tempat simpanan minyak bersebelahan tapak kebakaran itu.



Demi memastikan kebakaran itu tidak merebak ke premis bersebelahan, Komander Rota, Leftenan (LTA) Tan Chun Hui, dari Balai Bomba Jurong, berkata mereka memutuskan melakukan teknik "penyejukan sempadan" (boundary cooling) antara tempat kebakaran dengan premis bersebelahan itu.



Ini bermakna mereka menggunakan jet air Red Rhino untuk mewujudkan "hujan" di sempadan antara dua tapak itu supaya suhu kebakaran tidak terus melonjak dan api tidak merebak.



"Apabila tiba di tempat kejadian, kami lihat ada satu menara api... Tingginya sekitar 20, 30 meter.



"Kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelum ini... Kami sentiasa mendengar dan rasa letupan. Anda boleh lihat silinder berapi, yang digunakan di pusat makanan, tercampak di udara.



"Silinder itu akan jatuh di premis sebelah dan ia membimbangkan kerana premis itu juga tempat menyimpan minyak.



"Keutamaan kami ketika itu adalah melakukan penyejukan sempadan. Kami tidak mahu api merebak ke premis sebelah kerana ia akan menimbulkan bencana," katanya.



Namun, perkara yang paling membimbangkan pegawai SCDF tersebut ialah dua tangki 60 tan metrik yang mengandungi LPG di tempat kebakaran.



Komander Balai Bomba Bukit Batok, Mejar Navin Balakrishnan, berkata beliau dan pasukan memasuki premis di sebelah tempat kejadian supaya dapat menjadi lebih dekat dengan tangki tersebut.



Mereka kemudian menjalankan operasi menyejukkan kawasan di sekitar menggunakan air.



Jika suhu kebakaran terus meningkat, tangki LPG boleh pecah dan kandungan mudah bakar di dalam akan keluar secara mendadak di bawah tekanan tinggi.



Ini boleh menyebabkan letupan besar berlaku di seluruh kawasan.



Selepas memastikan suhu mampu dikawal, Mejar Navin dan seorang pegawai mengambil risiko memasuki tempat kejadian untuk mematikan 12 injap yang mengawal bekalan gas daripada dua tangki itu dan memeriksa tangki tersebut.



Komander Balai Bomba Jurong, Kapten Dinesh Verlachamy, berkata mujur pada hari tersebut arah tiupan angin menyebelahi mereka.



Angin pada mulanya bertiup ke arah selatan menghala ke premis sebelah tempat kejadian.



Namun, angin kemudian bertiup ke arah utara, justeru membolehkan mereka menjalankan operasi memadamkan kebakaran.



"Dengan perubahan arah angin, kami dapat mengerahkan mesin melawan api tanpa pemandu secara lebih dekat untuk membantu mengawal dan mengurangkan kebakaran," katanya.



Mejar Navin berkata, meskipun setiap pegawai letih di akhir operasi yang mengambil masa lebih enam jam itu, mereka berupaya tersenyum gembira.



Mereka bangga atas pencapaian itu dan bersyukur tiada kakitangan cedera.



"Kami masuk sebagai satu pasukan dan kami keluar juga sebagai satu pasukan. Meskipun semua penat, senyuman terukir di wajah mereka. Rasa positif begitu tinggi dalam kalangan pegawai," katanya.



SCDF berkata punca kebakaran masih disiasat.




"Apabila tiba di tempat kejadian, kami lihat ada satu menara api... Tingginya sekitar 20, 30 meter. Kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelum ini... Kami sentiasa mendengar dan rasa letupan. Anda boleh lihat silinder berapi, yang digunakan di pusat makanan, tercampak di udara. Silinder itu akan jatuh di premis sebelah dan ia membimbangkan kerana premis itu juga tempat menyimpan minyak... Kami tidak mahu api merebak ke premis sebelah kerana ia akan menimbulkan bencana."
- Leftenan Tan Chun Hui dari Balai Bomba Jurong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >