SEBAHAGIAN siling jatuh lalu menghempap sepasukan bomba sedang mereka memadamkan api di Outram Park pada pagi Selasa (15 Jun).
Dua daripada mereka telah dikejarkan ke hospital sementara seorang lagi mengalami cedera ringan.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia diberitahu tentang kebakaran rumah kedai di 31 Teo Hong Road di Outram Park pada sekitar 11.15 pagi.
Bomba yang bergegas ke tempat kejadian melihat asap tebal dari rumah kedai itu dan memasuki bangunan tersebut menggunakan set bantuan pernafasan.
Dua pegawai bomba berada di tingkat tiga rumah kedai itu apabila sebahagian silingnya jatuh menghempap mereka.
Kedua-dua pegawai sepenuh masa itu yang memakai peralatan pelindung penuh terpaksa dipindahkan dengan serta-merta dan diperiksa oleh paramedik.
Seorang daripada mereka dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) dalam keadaan sedar, sementara seorang yang lain dirawat di tempat kejadian kerana mengalami luka ringan.
Seorang lagi bomba yang merupakan anggota perkhidmatan sepenuh masa (NSF) juga dikejarkan ke SGH kerana mengalami keletihan haba.
Api itu dapat dipadamkan pada sekitar 1.15 tengah hari menggunakan tiga jet air, kata SCDF, yang turut menggunakan tangga platform sebagai sebahagian dari operasinya.
Dalam catatan di Facebook, SCDF mengatakan bahawa orang-orang di rumah kedai itu telah memindahkan diri mereka sendiri, dan 20 jiran mereka dipindahkan oleh SCDF sebagai langkah berjaga-jaga. - The Straits Times