TIGA warga Russia dan seorang warga Uzbekistan telah diberkas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan berkaitan pelacuran.
Dalam satu operasi semalam, para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) telah melancarkan beberapa serbuan serentak di kawasan Raffles Boulevard, Tanjong Katong Road dan Cairnhill Road.
Hasilnya, empat wanita berusia antara 26 dengan 39 tahun ditangkap.
Wanita-wanita tersebut disyaki menggunakan pas pekerjaan sah untuk menginap di Singapura bagi melakukan kesalahan berkaitan pelacuran.
Siasatan awal mendapati sindiket pelacuran itu telah mengiklankan khidmat seks di sekurang-kurangnya 10 platform dalam talian yang berlainan termasuk Backpage, Skokka, Yelp dan laman pelacuran lain.
Platform tersebut mendakwa menawarkan khidmat teman sosial high class dengan bayaran bermula sebanyak $500 sejam.
Pelanggan boleh menempah khidmat tersebut menerusi nombor telefon bimbit atau alamat e-mel yang disediakan di laman-laman tersebut.
Semasa operasi, polis merampas 13 telefon bimbit, empat komputer riba, komputer tablet, kondom dan dokumen-dokumen berkaitan.
Salah seorang wanita yang berusia 39 tahun dijangka didakwa di mahkamah dengan kesalahan di bawah Piagam Wanita esok.
Siasatan terhadap yang lain masih dijalankan. - ST