Sejak 2007, Singapura telah memperkenalkan beberapa langkah untuk membantu pasangan muda mengatasi cabaran sebagai ibu bapa baru.
Usaha tersebut akan diteruskan dan sebuah pasukan bertindak antara agensi akan memperluaskan lagi sokongan yang diberikan demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Pasukan bertindak tersebut yang dipengerusikannya akan membentuk Pelan Tindakan dan Strategi bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Kanak-kanak dan Ibu demi membantu kededua golongan tersebut, kata Encik Masagos.
“Ia juga akan terus mengadakan sesi-sesi untuk mendekati pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan pelan tersebut berteraskan keutamaan ibu-ibu dan anak-anak mereka,” katanya.
Menurut Encik Masagos, meskipun tempoh peralihan untuk menjadi ibu bapa merupakan detik yang penting, namun ia datang dengan cabarannya tersendiri.
Antara sokongan yang telah diperkenalkan sebelum ini oleh Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK dan juga Hospital Universiti Nasional (NUH) termasuk program intervensi selepas melahirkan di mana ibu-ibu baru diperiksa semasa tempoh dua hingga lapan minggu selepas melahirkan untuk mengesan kemurungan atau masalah keresahan atau ‘anxiety’.
Menurut Encik Masagos, hingga Disember tahun lalu sebanyak 165,000 wanita meraih manfaat dari program tersebut.
Sementara itu, Hospital Besar Singapura (SGH) telah menubuhkan klinik psikiatri yang terletak di klinik pakar perbidanan & sakit puan hospital itu untuk memberi sokongan bagi wanita yang mengalami gejala kemurungan sebelum dan selepas bersalin.
Sementara itu, hospital-hospital juga akan menilai sama ada pasangan ibu-ibu baru juga mengalami sebarang tanda-tanda tekanan, keletihan, kesukaran dalam menghadapi cabaran atau kemurungan, menurut Encik Masagos, dan akan dirujuk kepada poliklinik atau pakar mental jika perlu.