SINGAPURA telah dinamakan sebagai negara bukan Islam utama bagi para pelancong Muslim sedunia.
Ini merupakan kali keempat berturut-turut negara ini menduduki tempat pertama dalam Indeks Pelancongan Muslim Global yang dikeluarkan hari ini, Rabu.
Indeks tersebut memberi Singapura markah tinggi bagi sekitaran yang selamat, pelbagai pilihan makanan halal dan mudahnya untuk berkomunikasi.
Indeks itu memberi ranking kepada 130 destinasi berdasarkan 11 kriteria seperti mudahnya mendapatkan ruang solat dan pelbagai pilihan penginapan.
Dua kriteria baru - ketersambungan pengangkutan udara dan sekatan visa - telah disertakan dalam sembilan kriteria tahun ini.
Dengan mendapat markah 68.4, Singapura mendapat tempat kelapan keseluruhannya, satu kedudukan tangga lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Markah purata bagi semua destinasi adalah 43.7.
Lima tempat pertama indeks itu dikuasai oleh anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) - Malaysia (tempat pertama), diikuti oleh Amiriah Arab Bersatu, Turkey, Indonesia dan Qatar.
Berdasarkan kajian indeks itu, terdapat 117 juta pelancong Islam tahun lalu, mewakili 10 peratus ekonomi pelancongan global.
Menjelang 2020, bilangan pelancong Musliam dijangka mencapai 168 juta orang dan mempunyai nilai pasaran sebagai AS$200 bilion ($273 bilion).
Indeks tersebut dikeluarkan oleh MasterCard dan syarikat rundingcara pelancongan Muslim Crescent Rating.