Menteri Luar Vivian Balakrishnan mengutuk pengeboman di sebuah masjid di Mesir yang membunuh sekurang-kurangnya 235 orang, dengan mengatakan “perbuatan buruk dan kejam” itu melanggar kesucian tempat ibadat.
Sebuah bom diletupkan di sebuah masjid di bandar Bir Al-Abed di Sinai Utara pada Jumaat (24 Nov), sebelum lelaki bersenjata menembak jemaah yang sedang melarikan diri daripada serangan paling dahsyat dalam sejarah moden Mesir itu.
Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 235 orang dan mencederakan 125 orang.
Dr Balakrishnan berkata dalam satu catatan Facebook pada Sabtu bahawa beliau “terkejut dan sangat sedih” akan serangan pengganas itu.
“Serangan buruk itu sengaja menyasarkan jemaah pada hari Jumaat,” tulisnya.
“Kami mengutuk perbuatan buruk dan kejam itu, yang telah mengorbankan begitu banyak jiwa yang tidak bersalah dan mencederakan ramai yang lain, yang melanggar kesucian tempat ibadat,” katanya.
“Ingatan dan doa kami ialah bagi mangsa dan keluarga mereka. Kami amat menyokong Mesir dalam masa sedih ini.”
Tidak ada laporan mengenai warga Singapura cedera, kata Dr Balakrishnan, tetapi beliau menasihatkan warga Singapura di Mesir supaya menghubungi rakan dan keluarga mereka, memantau berita dan mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan.
Melahirkan sentimen sama, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata dalam satu kenyataan bahawa Singapura amat mengutuk serangan pengganas di Masjid Al-Rawdah itu.
“Mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan kejam itu harus dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
“Kami mengucapkan takziah paling mendalam kepada keluarga mangsa dan berharap mereka yang cedera sembuh segera.”
“Singapura menyokong kuat pemerintah dan rakyat Mesir dalam menentang kecaman pengganasan dalam saat sedih nasional ini.”
MFA menambah bahawa kedutaannya di Kaherah telah berhubung dengan pihak berkuasa Mesir dan pada masa ini tiada warga Singapura yang berdaftar berada di Bir Al-Abed.
Warga Singapura di Mesir yang memerlukan bantuan dinasihatkan supaya menghubungi Kedutaan Singapura di Kaherah melalui nombor telefon +20 2 3749 0468 / +20 2 3749 5045 atau +20 109 8064 130 atau e-mel singemb_cai@mfa.sg
Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Bertugas MFA 24 jam melalui nombor +65 6379 8800 / + 65 6379 8855 atau e-mel mfa_duty_officer@mfa.gov.sg