SYARIKAT telekomunikasi Singtel dan China Telecom Global akan menerajui bersama konsortium untuk membina sistem kabel gentian optik dasar laut bernilai AS$300 juta ($421 juta) untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di Asia Tenggara.
Konsortium itu termasuk empat syarikat telekomunikasi serantau lain, terdiri dari China Telecommunications dan Unified National Networks dari Brunei, serta syarikat telekomunikasi Filipina, Globe Telecom dan Dito Telecommunity.
Sistem dasar laut sepanjang 6,000 kilometer itu, yang dikenali sebagai Sistem Kabel Pautan Asia (ALC), akan menghubungkan Singapura dan Hong Kong dengan Brunei, Filipina, dan Hainan, China. Ia dijangka siap pada suku ketiga 2025.
Pada Selasa (8 November), Singtel berkata ia akan bekerjasama dengan rakan kongsi konsortiumnya untuk meningkatkan ketersambungan Internet dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian jalur lebar yang lebih tinggi di rantau ini.
Menegaskan bahawa terdapat kebergantungan yang semakin meningkat bagi sambungan lebar jalur yang lebih tinggi di Asia Tenggara, syarikat telekomunikasi itu percaya ALC akan membantu mengurangkan pergantungan kepada mana-mana pembekal rangkaian tunggal dalam konsortium itu kerana ia mengguna pakai reka bentuk sistem kabel terbuka.
Ia juga akan membolehkan peningkatan kapasiti tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan yang berkembang, tambah Singtel.
Sistem dasar laut itu juga akan membuka lebih banyak peluang untuk inovasi dan meningkatkan pengalaman digital, kata ketua eksekutif perusahaan kumpulan Singtel dan perniagaan pusat data serantau, Encik Bill Chang.
Projek itu memanfaatkan kepakaran teknikal Singtel dalam perkongsian konsortium dan pelaburan kabel dasar laut.
Ini termasuk sistem kabel dasar laut Asia Tenggara-Timur Tengah-Barat Eropah 6, sepanjang 19,200km, yang dijangka siap pada suku pertama 2025.