KES BUDAK MATI DIDERA

Siram anak dengan air panas kerana budak itu 'buatnya marah'

IBU yang dituduh mendera dan membunuh anaknya berkata dia menyiram anaknya dengan air panas kerana anaknya itu "membuatnya marah", dan tidak menjangka anaknya itu akan meninggal dunia kerana perbuatannya itu.

Demikian dikatakan tertuduh, Azlin Arjunah, tiga hari selepas anaknya meninggal dunia di hospital.

"Macam mana saya nak bunuh budak itu? Lihat tubuh saya yang kecil ini," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan di mahkamah semalam pada hari ketiga perbicaraannya selepas anaknya meninggal dunia selepas disiram air panas.

Azlin dan suaminya, Ridzuan Mega Abdul Rahman, kedua-duanya 27 tahun, sedang dalam proses perbicaraan kerana dituduh membunuh dengan niat yang sama selepas menyebabkan kelecuran di badan budak lelaki berusia lima tahun itu dengan menyiram air panas.

Mereka berdua juga menghadapi beberapa tuduhan lain kerana tindakan mendera yang lain, termasuk mengurung budak lelaki itu di dalam sangkar kucing, mencubitnya dengan playar, dan memukulnya dengan penyapu.

Antara 15 dengan 22 Oktober 2016, pasangan tersebut menyiram anaknya dengan air panas sekurang-kurangnya empat kali, menggunakan air panas yang didapatkan daripada termos di dapur.

Ujian saintifik mendapati suhu air dalam termos tersebut adalah sekitar 92.6 darjah Celcius secara purata.

Budak lelaki itu rebah selepas kejadian menyiram air panas yang terakhir dan dia dibawa ke hospital selepas enam jam, namun meninggal dunia akibat kecederaannya pada pagi 23 Oktober.

Semasa hari ketiga perbicaraan semalam, beberapa kenyataan yang diberikan kepada polis oleh pasangan itu dibaca semasa pegawai polis yang merakamkan kenyataan tersebut dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan pada 27 Oktober, Ridzuan berkata mangsa mengerang kesakitan, dan mengadu "sakit, sakit" semasa dalam perjalanan ke hospital.

Azlin berkata dalam satu kenyataan pada 26 Oktober dia melakukan demikian untuk mengajar anaknya.

"Jika saya nak bunuh dia, saya akan bunuh anak-anak saya yang lain sekali. Tapi semua anak saya yang lain masih selamat dan saya tak pukul mereka," katanya.

"Sebagai ibu, saya tak tergamak nak bunuh anak saya sendiri."

Dia juga berkata dia merindui kesemua anaknya.

Maklumat berkaitan pengenalan mangsa dan kesemua adik-beradiknya, selain nama ibu bapanya, tidak boleh didedahkan.

Dalam satu lagi kenyataan yang dirakamkan pada 26 Oktober, Azlin berkata dia tidak menjangkakan perkara seperti itu akan terjadi.

"Saya cuma ingin dia belajar. Untuk apa saya lakukan perkara ini kepadanya jika saya tak pernah pukul anak saya yang lain? Dia pun anak saya."

Perbicaraan akan diteruskan.

Galeri Foto