Siri video mengenai kesan buruk dadah dilancar

SATU siri video yang memaparkan kesan negatif penyalahgunaan dadah telah dilancarkan semalam.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen Dadah Itu Haram (DIH) yang bertujuan meningkatkan kesedaran antidadah dan menggesa masyarakat menangani masalah itu.

Filem-filem ringkas karya empat pembikin filem Melayu setempat itu menawarkan perspektif berbeza tentang bagaimana masalah berkaitan pengambilan dadah tidak sekadar melibatkan penyalahgunanya sahaja, malah ia turut menjejas kanak-kanak dan keluarga mereka.

Antara yang terlibat dalam pembikinan filem-filem ringkas itu termasuk Encik Shaiful Reezal Tajri dari Echo Entertainments, Encik Sanif Olek dari ReelJuice, Cik Dze Abdul Rahman dari Cre@dz dan Encik Sujimy Mohamad dari ScreenBox Pte Ltd.

Setiap video meliputi tema-tema berbeza dan memaparkan usaha kumpulan keagamaan, masyarakat seni, belia dan pertubuhan Melayu/Islam secara bersama meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai bahaya serta larangan dadah dalam Islam.

Video-video tersebut boleh ditonton orang ramai menerusi Facebook DIH dan YouTube serta media sosial Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam usaha meningkatkan kesedaran antidadah dalam kalangan masyarakat Muslim.

Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan) Amrin Amin menjadi tetamu terhormat majlis pelancaran semalam itu.