Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Siri wacana bincang ehwal Melayu

Oct 29, 2020 | 05:30 AM



YAYASAN Warisan Melayu (MHF) akan memperkenalkan satu siri ceramah baru bermula esok untuk memaparkan tokoh masyarakat Melayu/Islam dalam pelbagai bidang.



Usaha tersebut bertujuan meraikan ilmuwan setempat serta menghidupkan budaya intelek, kata Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Norshahril Saat.



"Apabila bicara soal warisan, sering kali yang diketengahkan ialah aspek persembahan, seperti muzik, tarian, dan bahasa.



"Warisan juga difahami sebagai bahan sejarah atau artifak turun temurun...



"Tetapi MHF juga mahu menghidupkan budaya intelektual, sesuai dengan keberadaan MHF di kawasan Kampong Gelam," kata Dr Norshahril kepada Berita Harian.



Beliau menambah, kawasan itu juga merupakan pusat pemikiran masyarakat, selain pusat perniagaan dan tempat jemaah haji berkumpul.



Siri ceramah yang diberi nama Siri Cendekiawan Lestari itu akan menonjolkan cendekiawan mapan dalam masyarakat yang mencakupi pelbagai bidang daripada sosiopolitik dan agama, sejarah dan sosiologi, undang-undang, serta sastera dan bahasa.



"MHF rasa masyarakat kita kurang berwacana dalam perkara-perkara serius, dan warisan sering kali dipandang daripada aspek makanan, tarian dan seni.



"Hal ini penting, tetapi sudah tiba masanya sumbangan masyarakat Melayu dinilai daripada kaca mata berbeza, seperti penggunaan teknologi, digital dan intelektual," ujar Dr Norshahril, yang juga Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak.



Beliau menarik perhatian beberapa tokoh seperti Allahyarham Zubir Said dan Allahyarham P. Ramlee yang berkecimpung dalam bidang seni, tetapi juga berupaya menulis makalah dan membincangkan seni mereka secara serius.



Sesi pertama Siri Cendekiawan Lestari pada 30 Oktober ini akan memaparkan Profesor Yaacob Ibrahim, mantan Menteri Kabinet, yang pernah menyandang portfolio Perhubungan dan Penerangan serta Ehwal Masyarakat Islam.



Beliau akan mengongsi pandangannya dalam sesi bertajuk "Malays in the National Imagination: Our Struggle for our Identity" (Melayu dalam Imaginasi Nasional: Perjuangan untuk Jati Diri Kita).



Sesi itu akan ditayangkan secara langsung di Facebook 'Warisan SG', dan diadakan sempena kempen Raikan Ilmu oleh Yayasan Mendaki.



Lima lagi sesi telah dijadual dari Januari hingga Oktober tahun depan, dengan barisan penceramah termasuk Profesor Syed Farid Alatas, Profesor Madya Hadijah Rahmat, Dr Mohd Fatris Bakaram, Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman dan Dr Aidil Subhan.



Ceramah-ceramah tersebut akan dijalankan dalam bahasa Inggeris, Melayu, atau secara dwibahasa, sesuai dengan keselesaan pembicara dan profil peserta, kata Dr Norshahril.



Beliau akur Siri Cendekiawan Lestari itu mungkin secara langsung menarik golongan yang cenderung kepada bidang akademik, tetapi MHF turut meneroka pelbagai wadah lain untuk mendekati setiap golongan.



MHF menyediakan pelbagai wadah lain seperti Sesi Sembang Ilmu khas untuk golongan belia membincangkan isu-isu semasa.



Pada masa akan datang, MHF juga berhasrat menganjurkan sesi Cendekiawan Harapan dan membariskan cendekiawan muda daripada golongan seperti asatizah, aktivis silang agama dan karyawan pendidikan.



Daya usaha tersebut juga sejajar dengan matlamat asal MHF sebagai institusi yang mendokumentasi dan menyelidik masyarakat Melayu, kata Dr Norshahril.



Oleh itu, MHF merancang merakam Siri Cendekiawan Lestari itu dalam bentuk bahan penulisan untuk bahan kajian serta tatapan generasi akan datang.



"Jadi kita fikirkan bagaimana sumbangan intelektual kita dapat dilestarikan buat generasi mendatang.



"Kita juga berhasrat mendokumentasi sesi ini sebagai bahan penulisan agar ia dapat diamati buat selamanya, dan boleh menjadi bahan kajian," ujar beliau lagi.




"Apabila bicara soal warisan, sering kali yang diketengahkan ialah aspek persembahan, seperti muzik, tarian, dan bahasa. Warisan juga difahami sebagai bahan sejarah atau artifak turun temurun... Tetapi MHF juga mahu menghidupkan budaya intelektual, sesuai dengan keberadaan MHF di kawasan Kampong Gelam... Sudah tiba masanya sumbangan masyarakat Melayu dinilai daripada kaca mata berbeza, seperti penggunaan teknologi, digital dan intelektual."
- Pengerusi Yayasan Warisan Melayu, Dr Norshahril Saat




SIRI CENDEKIAWAN LESTARI



- Siri ceramah anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF)



- Paparkan tokoh masyarakat dan meraikan budaya intelek



- Sesi pertama bersama Profesor Yaacob Ibrahim pada 7.30 malam esok di Facebook 'Warisan SG'.



- Sesi pertama itu bertajuk "Malays in the National Imagination: Our Struggle for our Identity" (Melayu dalam Imaginasi Nasional: Perjuangan untuk Jati Diri Kita)



- Lima lagi sesi dijadual Januari-Oktober 2021



- Barisan penceramah akan datang: Profesor Syed Farid Alatas, Profesor Madya Hadijah Rahmat, Dr Mohd Fatris Bakaram, Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman dan Dr Aidil Subhan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >