Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI WAWANCARA ANGGOTA PARLIMEN

AP Zainal gigih khidmat kepada penduduk, perjuang hak pekerja

Nov 11, 2018 | 05:30 AM



"SAYA mahu menjadi seorang anggota parlimen."



Siapa menyangka jawapan spontan Encik Zainal Sapari dalam satu temu ramah biasiswa pada usia 18 tahun menjadi kenyataan, sedangkan beliau tidak pernah memendam hasrat menjadi ahli politik.



"Bila saya beritahu emak saya pada masa itu tentang jawapan saya, emak kata "Mengapa tidak, kalau sudah ditakdirkan."



"Mungkin mulut beliau masin, dan menjadi doa, sehingga saya menjadi AP hari ini," kata Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol itu sambil tersenyum, mengimbas kenangan itu.



Encik Zainal, 53 tahun, menceburi politik pada 2011 setelah melepaskan jawatan terakhirnya sebagai superintenden sekolah.



Bapa enam anak itu juga kini menyandang peranan penting sebagai Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).



Sikap berterus terang dan berani menyuarakan pandangan, khususnya dalam memperjuangkan hak pekerja bergaji rendah, membuat ramai penduduk selesa meluahkan masalah kepada Encik Zainal.



Menurut Encik Zainal, pengalaman dibesarkan dalam sekitaran yang serba sederhana, sering mengingatkan tentang peranannya hari ini - iaitu berkhidmat kepada masyarakat Singapura, sekali gus menjadi pembakar semangat dirinya.



GURU JADI AHLI POLITIK



Keputusan meninggalkan dunia pendidikan bukan mudah, memandangkan Encik Zainal sudah sebati dengan kerja perguruan.



"Dulu saya bercita-cita menjadi peguam, tetapi akhirnya, mendapat petunjuk menjadi guru.



"Pendidikan telah banyak mengubah kehidupan saya, dan saya mahu mengubah hidup orang lain menerusi pendidikan," ujarnya yang merupakan orang pertama lulus universiti dalam keluarganya.



Meskipun jika diberi pilihan, beliau akan memilih terus menjadi seorang pengetua berbanding superintenden sekolah, tetapi Encik Zainal terima dengan hati terbuka laluan politik yang dipilihnya.



"Penting untuk kita faham mengapa kita lakukan apa yang kita lakukan dalam hidup.



"Bila saya menjadi guru, tujuan saya ialah membantu pelajar mendapat peluang lebih cerah dalam hidup mereka - sama juga bila saya pilih menjadi seorang AP, ialah membantu warga," kongsi beliau.



Ketika membuat keputusan menjadi AP, beliau telah melakukan banyak solat istiharah serta berunding dengan keluarga dan teman rapat.



Ekoran latar belakang dan kepribadiannya, Encik Zainal tidak kekok menggalas tugasan AP dan tidak sedikit merasa janggal beralih ke dunia politik pada 2011.



"Sejak muda lagi, saya sudah biasa bercampur gaul dengan semua orang. Keluarga dan saudara-mara saya adalah orang biasa sahaja, jadi saya mudah berhubungan dengan masyarakat daripada semua lapisan.



"Tidak sukar untuk saya berinteraksi dengan warga Singapura lain," terangnya.



RENDAH DIRI BILA BERTEMU PENDUDUK



Kehidupan serba sederhana sejak kecil lagi telah banyak membentuk Encik Zainal.



Lantaran itu, anak keempat dalam lima beradik itu tidak pernah mengambil ringan tanggungjawab yang diberikan sebagai wakil rakyat.



"Saya percaya orang akan memberi respons jika kita mesra dan baik hati kepada mereka, daripada kita menunjuk-nunjuk status diri.



"Saya sering mengingatkan diri sendiri - anda berada di sini kerana orang ramai mengundi anda, jadi jangan aksyen sangat!



"Hari ini, saya perhatikan orang tidak akan terima dengan baik jika seorang pemimpin cuba membezakan dirinya dengan rakyat dan menjangkakan layanan tertentu.



"Jadi, jika saya ada acara kemasyarakatan, saya cuba datang awal, sama masa dengan penduduk dan bukan datang macam 'star'," ujar beliau terus-terang.



Mengenai cara mendekati penduduknya, Encik Zainal yang sudah menjadi AP di kawasan undinya sejak 2011, merasa penting untuk memahami tanggapan penduduk.



"Jika penduduk melihat AP datang dengan rombongan pengiring yang ramai, mereka takut untuk bercakap atau berkongsi apa-apa.



"Jadi saya pastikan tidak datang dengan terlalu ramai anggota akar umbi bila bertemu penduduk agar mereka selesa.



"Seberapa boleh, saya mahu interaksi dengan penduduk menjadi satu pengalaman positif buat mereka, yang kemudian akan disebarkan kepada penduduk lain," jelasnya yang tidak kisah apa sahaja panggilan penduduk terhadapnya.



Pada masa sama, Encik Zainal mengakui kadangkala merasa 'tidak berdaya' apabila berdepan dengan kes-kes tertentu, seperti anak-anak yang mengabaikan orang tua.



"Misalnya seorang wanita tua mengadu dengan saya yang beliau menetap di flat sewa dengan anak perempuannya.



"Tetapi anaknya itu tidak pernah membelikan makanan untuknya atau bayar bil api air, sekadar bayar sewa flat.



"Dalam situasi seperti ini, saya tidak berupaya membantu banyak kerana perihal keluarga namun saya cuba sedaya boleh, seperti beri baucer makanan.



"Kes seperti ini membuat saya terkesan," ujarnya yang sering berkongsi 'tekanannya' dengan isterinya.



AKTIVIS PEKERJA



Isu pekerja merupakan satu bidang yang dekat di hati Encik Zainal - apatah lagi pengalaman menyaksikan pengorbanan bapanya memikul tiga pekerjaan - termasuk sebagai pekerja pembersihan - demi menyara keluarga.



Beliau tegaskan, hak pekerja harus terus diperjuangkan walaupun dalam zaman moden hari ini kerana landskap pekerja banyak berubah.



"Ada amalan perniagaan menyebabkan kegagalan dalam pasaran. Dulu, kita beroperasi atas dasar pasaran menentukan gaji, kerana persaingan akan memastikan semua dilayan dengan adil.



"Tetapi dalam bidang tertentu, amalan pasaran menyebabkan segelintir pekerja berada dalam keadaan merugikan seperti pekerja pembersihan, keselamatan dan landskap kerana tiada pendidikan dan kemahiran yang tinggi," ujarnya.



Encik Zainal memberi contoh, amalan penyumberan luar telah menyekat gaji golongan pekerja itu.



Disebabkan keadaan pekerja yang tidak berkemahiran dan pendidikan, maka mereka selalunya tidak ada pilihan lain dan menerima sahaja pekerjaan itu meskipun gajinya terlalu rendah.



Ini sebabnya Encik Zainal telah memperjuangkan dengan aktif Model Gaji Progresif (PWM) - yang bersikap adil terhadap pekerja mahupun majikan.



"Saya paling tidak suka jika orang mengambil kesempatan daripada seseorang yang dalam keadaan lemah. Ini membuat saya sangat marah," tekan beliau.



#MEDIASOSIAL



Jika anda melungsuri laman Facebook Encik Zainal, kadangkala hati tercuit dengan 'hashtagnya' yang santai dan selamba.



"Hashtag saya mencerminkan fikiran paling dalam saya," katanya sambil tertawa, apabila ditanya tentang pendekatan media sosialnya.



"Kadangkala ada yang tidak bersetuju dengan 'hashtag' saya, ada yang pernah menegur saya.



"Tetapi bagi saya ia mencerminkan diri sebenar saya.



"Dan saya fikir, kita tidak boleh terlalu serius tentang semua perkara, kadang-kadang kita harus berupaya ketawakan diri sendiri," ujar beliau.



Encik Zainal berpendapat, media sosial adalah satu wadah yang membolehkan orang ramai melihatnya sebagai 'seorang manusia biasa'.



Di samping itu, beliau sering mengambil peluang untuk berkongsi tentang apa yang dilakukan sebagai AP mahupun di Parlimen.



"Pada akhirnya, matlamat saya ialah mahu menunjukkan kepada penduduk atau warga bahawa saya adalah seorang manusia biasa.



"Dulu, tanpa media sosial, kita sering bertanggapan seorang AP itu begitu tinggi statusnya.



"Namun, pada akhirnya, kami sebagai AP adalah untuk berkhidmat kepada penduduk dan bukan sebaliknya," tegas beliau.




Tentang merendah diri



Saya percaya orang akan memberi respons jika kita mesra dan baik hati kepada mereka, daripada kita menunjuk-nunjuk status diri.



Saya sering mengingatkan diri sendiri - anda berada di sini kerana orang ramai mengundi anda, jadi jangan aksyen sangat!"




Perjuangkan hak pekerja



"Saya paling tidak suka jika orang mengambil kesempatan daripada seseorang (pekerja) yang dalam keadaan lemah. Ini memang buat saya sangat marah."




Mengenai hashtag santai "



"Kadangkala ada yang tidak bersetuju dengan 'hashtag' saya, ada yang pernah menegur saya.



Tetapi bagi saya ia mencerminkan diri sebenar saya. Dan saya fikir, kita tidak boleh terlalu serius tentang semua perkara, kadang-kadang kita harus berupaya ketawakan diri sendiri."



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >