Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI WAWANCARA ANGGOTA PARLIMEN

AP berhati lembut, prihatin terhadap golongan memerlukan

Dec 16, 2018 | 05:30 AM



SEKALI pandang, ketrampilan Encik Saktiandi Supaat memang persis stereotaip seorang pakar ekonomi.



Tetapi, sebut sahaja perihal penduduk, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh itu menunjukkan perwatakan berbeza.



Ini kerana di sebalik wajahnya yang serius itu, Encik Saktiandi, 45 tahun, memang berhati lembut, terutama terhadap golongan memerlukan seperti belia berisiko dan warga emas.



Lantaran itu, sejak dilantik sebagai AP pada 2015, beliau memastikan program menjaga kebajikan dan keperluan semua lapisan penduduk tersedia.



Malah, Encik Saktiandi - yang juga bertugas sebagai Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group - tidak keberatan melakukan lawatan rambang di sekitar kawasan undi itu agar dapat lebih mengenali isi hati penduduknya.



Sikap prihatin terhadap orang lain dan etika kerja keras ini, menurut Encik Saktiandi, adalah hasil didikan kedua-dua orang tuanya.



"Ayah saya pegawai polis manakala ibu juruhebah radio - dua bidang yang melibatkan orang awam.



"Mereka mengajar kami dua beradik agar sentiasa menjaga dan prihatin terhadap orang lain.



"Mereka juga memupuk nilai gigih bekerja, dan ini saya lihat sendiri semasa membesar apabila ibu bapa banyak berkorban demi menyediakan kehidupan selesa," ujarnya.



JADI AP BUKA MATA



Walaupun kepakaran Encik Saktiandi lebih dalam bidang kewangan, lulusan sarjana dalam pentadbiran perniagaan daripada Universiti Cambridge itu tidak kekok melakukan kerja kemasyarakatan.



Beliau, yang pernah bertugas sebagai pengamat ekonomi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) - khusus dalam dasar ekonomi - bergiat sebagai relawan dengan memimpin sayap belia Angkatan Karyawan Islam (AMP) pada 2010.



Semua pengalaman itu membentuk dirinya hari ini, kata Encik Saktiandi, yang juga pernah menjadi ahli perbendaharaan ekonomi kanan di United Overseas Bank (UOB).



"Jika saya sekeping kuih lapis, saya fikir saya ada empat lapisan.



"Lapisan terbawah dibentuk pengalaman sektor pemerintah di MAS; disusuli lapisan kedua terbawah iaitu pengalaman kesukarelawan di AMP; kemudian penyertaan dalam sektor privet; dan lapisan teratas, peranan sebagai seorang AP.



"Ini mungkin satu kelebihan saya, berpeluang menyertai sektor awam dan privet," ujarnya.



Sementara beliau bersetuju bahawa bidang kewangan dan politik atau khidmat masyarakat adalah dua dunia berbeza - satu didorong keuntungan manakala satu lagi tidak - namun, banyak kemahiran bertindih diperolehi.



"Misalnya, di Maybank saya berurusan dengan bermacam-macam pelanggan, hasilkan strategi dan bantu mereka faham dasar kita.



"Ini serupa dengan tanggungjawab AP - perlu berinteraksi dengan penduduk, membantu mencari huraian dan menjelaskan dasar atau inisiatif pemerintah yang memberi manfaat."



Namun, bapa tiga anak itu menyifatkan penglibatan dalam dunia politik banyak membuka mata dan mendedahkannya kepada pelbagai isu warga masa kini hingga mengubah 'kaca matanya'.



"Dahulu, sebagai pakar ekonomi, saya melihat sesuatu dari sudut makro atau gambaran luas.



"Kini saya sedar isu mikro penting dalam kehidupan warga kita. Isu harian seperti menyediakan makanan yang cukup untuk keluarga dan jaminan pekerjaan, adalah keutamaan mereka dan warga bergelut dengan hal ini setiap hari, berbanding isu makro seperti melengkapkan diri dengan kemahiran bagi masa depan.



"Tetapi dalam saya membantu mereka, saya akan memastikan isu-isu makro diterapkan agar apa yang mereka capai hari ini dapat bertahan dan berpanjangan," terang beliau, yang menganggap dirinya mudah mendengar masalah orang lain.



PRIHATIN TERHADAP GOLONGAN MEMERLUKAN



Apabila ditanya apakah yang membakar semangatnya melaksanakan tanggungjawab selaku AP, Encik Saktiandi dengan pantas menjawab:



"Kanak-kanak."



Menurut beliau, pengalaman berinteraksi dengan kanak-kanak, khususnya mereka yang berisiko, paling meninggalkan kesan baginya.



"Satu lawatan yang tidak boleh saya lupakan ialah bertemu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang tinggal di rumah sendirian dan memasak mi segera untuk dirinya.



"Ibunya, seorang ibu tunggal, keluar bekerja syif malam. Hati saya tersentuh melihat keadaannya.



"Anak bongsu saya sendiri berusia lapan. Sebagai seorang ayah, tentunya saya mahu yang terbaik untuk anak-anak sendiri.



"Walaupun saya tidak boleh menyediakan selengkapnya kepada anak-anak lain sebagaimana yang saya lakukan untuk anak-anak saya, paling asas, saya ingin memastikan semua anak bersekolah dan mendapat penjagaan dan tidak terabai.



"Ini titik permulaan yang wajar untuk semua anak, tidak kira latar belakang mereka," tegas Encik Saktiandi.



Golongan yang turut menjadi keprihatinan utama beliau adalah ibu tunggal dan warga emas yang tinggal sendirian.



Disebabkan itu beliau perkenalkan pelbagai program khusus sejak dua hingga tiga tahun lalu, yang dapat menyokong mereka dalam kehidupan harian.



"Motivasi saya adalah selagi boleh, saya mahu menolong penduduk memiliki kehidupan lebih baik, memastikan tiada yang ketinggalan di belakang dan membantu anak-anak memerlukan tingkatkan diri agar setara dengan orang lain," terangnya.



SUKA INTERAKSI PENDUDUK



Kalau anda berada di kawasan Toa Payoh, jangan terkejut kalau bertembung dengan Encik Saktiandi.



Ini kerana beliau suka melawat penduduknya secara rambang - sama ada dengan berjalan atau berbasikal di bawah blok.



Menurut beliau, dalam era media sosial, tentu ramai pemimpin masyarakat memanfaatkan sepenuhnya wadah itu.



Tetapi Encik Saktiandi menganggap cara beliau agak tradisional kerana beliau masih suka berinteraksi secara bersemuka.



"Media sosial memang alat yang berguna. Tetapi ia adalah hanya satu alat daripada pelbagai alat atau wadah yang kita boleh gunakan.



"Saya lebih aktif di Facebook dan ia terbukti berguna untuk penduduk menghubungi saya secara langsung," ujarnya yang sering mendapat permintaan bantuan penduduk melalui pesanan Facebook.



Namun, Encik Saktiandi lebih suka bertentang mata dan bertemu penduduk secara peribadi.



"Kadangkala saya akan berbasikal sendirian di kawasan ini, berjalan di blok dan berkunjung ke pasar.



"Cara ini lebih berhasil dalam usaha saya memahami hidup penduduk dan menolong mereka dengan lebih baik.



"Kalau di media sosial, saya boleh kongsi gambar, pandangan atau apa yang ditimbulkan di Parlimen, tetapi saya tidak dapat menyelam hati penduduk mahupun melihat bahasa tubuh mereka," terang beliau.



Ini sedikit sebanyak mungkin dipengaruhi pengalaman membesar di kampung selama lebih lapan tahun, yang banyak mengajarnya tentang semangat kemasyarakatan, terang Encik Saktiandi, yang pernah menetap di Kampung Tempeh di kawasan Bukit Timah dahulu.




Mengenai pengalaman diri



"Jika saya sekeping kuih lapis, saya fikir saya ada empat lapisan.



Lapisan terbawah dibentuk pengalaman sektor pemerintah di MAS; disusuli lapisan kedua terbawah iaitu pengalaman kesukarelawan di AMP; kemudian penyertaan dalam sektor privet; dan lapisan teratas, peranan sebagai seorang AP.



Ini mungkin satu kelebihan saya, berpeluang menyertai sektor awam dan privet."



Terbuka mata kepada isu mikro warga



"Dahulu, sebagai pakar ekonomi, saya melihat sesuatu dari sudut makro atau gambaran luas.



Kini saya sedar isu mikro penting dalam kehidupan warga kita. Isu harian seperti menyediakan makanan yang cukup untuk keluarga dan jaminan pekerjaan, adalah keutamaan mereka dan warga bergelut dengan hal ini setiap hari, berbanding isu makro seperti melengkapkan diri dengan kemahiran bagi masa depan.



Tetapi dalam saya membantu mereka, saya akan memastikan isu-isu makro diterapkan agar apa yang mereka capai hari ini dapat bertahan dan berpanjangan."



Pembakar semangat



"Motivasi saya adalah selagi boleh, saya mahu menolong penduduk memiliki kehidupan lebih baik, memastikan tiada yang ketinggalan di belakang dan membantu anak-anak memerlukan tingkatkan diri agar setara dengan orang lain."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >