Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI WAWANCARA ANGGOTA PARLIMEN

Walau diserang barah, AP Intan terus juang berkhidmat kepada penduduk

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



TAHUN 2015 mungkin merupakan tahun yang tidak mudah dilupakan Dr Intan Azura Mokhtar.



Ini kerana Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio itu dikejutkan dengan pengesahan doktor bahawa beliau menghidap barah.



Walaupun terpaksa bergelut dengan penyakit itu, tetapi ia tidak sekalipun mematahkan semangat Dr Intan, 43 tahun, untuk terus berkhidmat demi penduduknya serta memperjuangkan matlamatnya dalam isu pendidikan, wanita dan keluarga.



Malah, pengalaman itu telah menyuntik kekuatan dan semangat baru dalam diri ibu tiga anak itu.



Dr Intan, yang bertugas sebagai Penolong Profesor dalam bidang Rekaan dan Perniagaan Khusus Institut Teknologi Singapura (SIT), telah menyandang peranan sebagai AP sejak 2011.



Beliau juga adalah AP wanita Melayu/Islam ketiga selepas Puan Halimah Yaacob dan Dr Fatimah Lateef.



PENGALAMAN BARAH



Pengalaman menghidap barah telah membuka lembaran baru dalam hidup Dr Intan.



Beliau yang enggan memberi perincian tentang jenis barah yang dihadapinya berkata pengalaman itu menyedarkannya tentang banyak perkara, termasuk pentingnya masa keluarga.



"Perkara pertama di fikiran saya adalah anak kerana mereka masih kecil, terutama anak bongsu saya yang ketika itu lima tahun.



"Saya paling prihatin tentang dia kerana (dia) memiliki autisme dan perlukan banyak perhatian. Jika apa-apa berlaku pada diri saya, adakah suami saya dapat menangani anak kami yang berkeperluan khas?" kongsi beliau.



Dr Intan - yang bermula sebagai guru sekolah menengah selama lima tahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (Phd) dan menjadi pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE) - bersyukur penyakit itu dikesan awal meskipun proses pemulihan memang amat menduga.



"Selepas satu pembedahan pada 2015, setiap hari selama sebulan saya harus jalani terapi radiasi.



"Saya ingat lagi ketika itu adalah perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS), jadi setiap hari selepas menghadiri Parlimen, saya akan bergegas ke Hospital Besar Singapura (SGH) menjalani rawatan. Memang ia amat mencabar,"ujarnya.



Walaupun diselubungi pelbagai kebimbangan, tetapi dengan sokongan keluarga dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, ia mendorong Dr Intan agar fokus kepada pemulihan.



"Encik Lee nasihatkan saya agar tidak membebankan diri dengan bermacam kerisauan dan fokus kepada menjadi lebih sihat. Dengan adanya kajian dan perubatan yang lebih canggih, saya perlu optimis.



"Kata perangsang Encik Lee itu amat bermakna selaku bos saya, terutama kerana beliau sendiri pernah mengalami barah," jelas Dr Intan yang berharap pengalaman itu dapat menjadi pengajaran kepada lain.



"Pesanan saya ialah rajin jalani pemeriksaan tetap kerana ini membolehkan kita mengesan awal apa sahaja penyakit, khususnya juga bagi wanita yang berisiko hidapi barah berkaitan wanita," nasihatnya.



Sementara dalam peringkat peredaan (remission), Dr Intan tidak cepat berpuas hati dan mengamalkan gaya hidup dan pemakanan lebih sihat - termasuk mengambil makanan semula jadi.



"Misalnya, emak saya suruh minum air kunyit setiap minggu, jadi saya pun minum sahaja walaupun tidak sedap! Tetapi demi kesihatan, saya ikut sahajalah," ujarnya.



Satu lagi perubahan dibuat Dr Intan ialah memperuntuk lebih banyak masa bersama keluarga pada hujung minggu.



"Sebelum ini, kalau ada acara setiap hujung minggu, saya tidak kisah.



"Tetapi selepas peristiwa ini, saya pastikan sekurang-kurangnya satu hujung minggu dalam sebulan diketepikan untuk keluarga saya. Saya sedar yang saya perlu pastikan ada masa untuk keluarga," tekannya.



CEBURI POLITIK



Tutur bicara yang lemah lembut dan sifat keibuan Dr Intan - yang terserlah sepanjang wawancara - memang adalah 'penarik' utama ramai penduduk GRC Ang Mo Kio.



Namun, Dr Intan berkata bukan mudah pada mulanya untuk bersikap terbuka kepada orang lain.



"Kerjaya politik telah mengubah saya menjadi seorang yang kurang introvet. Kalau dulu, saya pemalu, dan sukar melahirkan pandangan.



"Jadi sebagai guru terlebih dahulu telah membantu mengubah sedikit sifat saya kerana perlu berdiri dan bercakap di depan murid.



"Namun selaku ahli politik, ia perlukan lebih banyak usaha bagi mendekati dan bertanyakan keprihatinan penduduk, serta mengetengahkannya di Parlimen.



"Di luar Parlimen pula, saya juga perlu adakan perbincangan dengan jawatankuasa pemerintah lain," kongsinya.



Merenung semula perjalanan politiknya selama lapan tahun, Dr Intan menyifatkan ia sebagai satu perjalanan berliku dengan dua tahun pertama sebagai paling mencabar.



"Sejujurnya, banyak aral melintang. Kadangkala akan ada yang bersangka lain terhadap niat kita dan saya merasakan paling banyak tekanan pada dua tahun pertama kerana jangkaan orang terhadap saya sebagai AP, wakil rakyat.



"Tetapi lama-kelaman dengan pengalaman ditimba dan kematangan, saya belajar menangani jangkaan orang lain, paling penting - perasaan diri sendiri dan bagaimana saya memberi reaksi terhadap jangkaan orang," ceritanya.



Tambah Dr Intan, bidang politik banyak mengajarnya erti merendah hati, dari segi menimba pengetahuan daripada mereka yang lebih mapan.



"Saya telah banyak belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman, bukan hanya rakan AP lain bahkan pemimpin akar umbi atau sukarelawan yang sudah aktif 20 atau 30 tahun.



"Dalam politik, saya sedar penting untuk rendah hati. Anda tidak boleh fikir yang anda tahu semua huraian," tekan Dr Intan.



ISU DEKAT DI HATI



Sejak awal lagi, Dr Intan yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pendidikan, menitikberatkan isu pendidikan, wanita dan keluarga.



Satu lagi bidang tumpuannya sejak beberapa tahun lalu adalah isu pekerjaan dan tenaga manusia, memandangkan beliau juga menganggotai GPC bagi Tenaga Manusia.



Antara keprihatinannya adalah peluang pekerjaan baik buat anak muda serta pekerja tua, sedang penduduk kian menua.



"Apabila berbual dengan penduduk, semakin ramai termasuk golongan 60-an tahun masih mahu berdikari secara kewangan dan khuatir hilang pekerjaan ekoran usia meningkat, kerana masih ada tanggungan yang bersekolah," kongsinya.



Dalam hal ini, Dr Intan juga ingin melihat kaum wanita Melayu/Islam lebih berdikari secara kewangan dan mencapai pembangunan peribadi.



Ini selepas menyaksikan beberapa kes penduduk wanita yang berkelulusan tetapi tidak dibenarkan suami keluar bekerja.



"Contohnya, ada satu kes isteri berkelulusan diploma tetapi tidak dibenarkan suami untuk bekerja, disuruh duduk di rumah dan menjaga anak.



"Saya tidak ada masalah jika ia adalah keputusan atau pilihan wanita itu sendiri. Tetapi apabila mereka tidak diberi pilihan sedangkan mereka boleh menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan keluarga, rasanya ia tidak wajar.



"Jika diberi peluang bekerja, bukan hanya mereka dapat tingkatkan kewangan, bahkan mereka boleh tingkatkan diri, capai pembangunan peribadi lantas membolehkan mereka menyumbang lebih baik kepada anak dan keluarga," kata beliau.



Dr Intan percaya kaum hawa boleh menikmati pencapaian dalam semua aspek, dengan syarat kaum suami memberi sokongan.



Namun ini memerlukan perubahan minda.



"Tidak bermakna seorang wanita yang bekerja itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.



"Ya, wanita boleh memiliki segalanya tetapi seseorang suami itu perlu ke depan dan menyokongnya," tekan beliau.




Mengenai sakit barah



“Perkara pertama di fikiran saya adalah anak kerana mereka masih kecil, terutama anak bongsu saya yang ketika itu lima tahun. Saya paling prihatin tentang dia kerana (dia) memiliki autisme dan perlukan banyak perhatian. Banyak kerisauan bermain di fikiran saya. Namun saya bersyukur barah ini dikesan awal dan dapat menjalani rawatan awal.”



Mengenai pendekatan lemah lembut politik



"Saya fikir ini adalah cara saya mendekati orang dan menangani isu. Saya perlu faham diri sendiri, kekuatan saya dan memanfaatkannya kerana sifat lembut ini ada kelebihannya. Jika anda senyum dan berlembut, kadangkala anda dapat memecahkan jurang dengan orang lain, atau rasa marah mereka. Perasaan marah itu reda lama-kelamaan. Ini satu cara menangani punca sebenar sesuatu masalah tanpa kehadiran emosi atau amarah."



Mengenai wanita Melayu



"Saya mahu wanita Melayu berdikari dalam kewangan. Tidak bermakna seorang wanita yang bekerja itu akan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. Ya, wanita boleh memiliki segalanya tetapi seseorang suami itu perlu ke depan dan menyokongnya. Lebih daripada kewangan, beliau akan memiliki ruang dan masa untuk mengetahui potensi diri dan ini penting, kerana ia membolehkannya sumbang lebih baik kepada keluarga."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >