SISTEM pemprosesan data kecerdasan buatan (AI) baru yang boleh mengenal pasti kapal yang mengancam di sepanjang pantai Singapura dalam masa nyata bakal meningkatkan keselamatan negara ini.
Sistem itu akan digunakan Pusat Krisis Maritim Singapura (SMCC) dan mampu secara automatik mengumpul maklumat terkini dari sumber pemerintah setempat dan asing serta sumber komersial, lapor The Straits Times.
Ia akan menggunakan apa sahaja yang tersedia termasuk rekod jenayah anak kapal dan laluan yang diambil kapal itu untuk menentukan tahap ancaman.
Maklumat itu dan profil kapal kemudiannya dikongsi serta-merta dengan agensi keselamatan maritim lain, membolehkan mereka menentukur respons yang diselaraskan.
Respons itu termasuk sama ada untuk menaiki kapal secara paksa, mengalihkan dan menguruskan lalu lintas maritim, memadamkan api di atas kapal atau melarang anak kapal yang mencurigakan daripada turun kapal.
Agensi yang menggunakan sistem AI itu termasuk Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
"Sistem baru ini akan dapat memberi kesimpulan 10 kali lebih pantas daripada sistem sebelumnya.
"Ini mengurangkan masa yang diperlukan daripada jam ke minit," kata Kolonel Desmond Low, pengarah kumpulan membuat pertimbangan maritim negara.
Sistem membuat pertimbangan itu sudah dibangunkan sejak 2016 dan kini berada di peringkat akhir penyepaduan dan ujian.