Sistem isyarat baru Laluan Utara-Selatan diuji Selasa malam, tren akan berhenti 10 minit

SEMUA kereta api di Laluan Utara-Selatan akan berhenti di landasan kira-kira 10 minit sekitar 11 malam pada Selasa (28 Mac), agar satu sistem pengisyaratan baru dapat diuji.

Ini bagi memudahkan pemindahan cepat ke sistem pengisyaratan baru, yang akan diuji buat kali pertama semasa waktu perkhidmatan penumpang.

Kira-kira 30 kereta api akan beroperasi semasa tempoh itu.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT berkata pengumuman dalam kereta api akan dibuat untuk memaklumkan penumpang mengenai penggantungan sementara operasi.

Apabila mod pengisyaratan baru mengambil alih, perkhidmatan kereta api akan disambung semula.

LTA berkata ia akan menilai kejayaan ujian itu, yang akan berlangsung semasa sejam terakhir tempoh perkhidmatan, sebelum memutuskan tarikh ujian selanjutnya.

Encik Tan Yih Long, pengarah projek pengisyaratan baru LTA, berkata: "Hasilnya akan membantu LTA memutuskan bila untuk melanjutkan ujian ke semasa tempoh perkhidmatan lebih lama, dan akhirnya peralihan penuh ke sistem pengisyaratan baru."

Sistem pengisyaratan yang dinaik taraf itu salah satu daripada projek utama bagi memperbaharui Laluan Utara-Selatan yang berusia 30 tahun.

Ia akan membolehkan kereta api bergerak pada tempoh selang lebih pendek hingga 100 saat berbanding 120 saat pada waktu sibuk sekarang.