Sistem pelepasan imigresen automatik diuji di Woodlands, Tuas

BAYANGKAN sebuah sistem pelepasan imigresen yang automatik dan menggunakan sistem robotik bijak bagi penumpang kereta yang keluar masuk pusat pemeriksaan darat.

Sistem pelepasan imigresen teknologi canggih itu boleh menjadi satu kenyataan pada masa depan, dengan prototaip sistem sedemikian kini diuji di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Sistem Pelepasan Penumpang Dalam Kereta Automatik (APICS) itu dibangunkan hasil kerjasama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dengan Pejabat Ketua Pegawai Sains dan Teknologi (OCSTO) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Jika ujiannya berjaya, Singapura mungkin negara pertama yang akan memanfaatkan sistem sedemikian - siap dengan tangan robot, pengimbas biometrik dan teknologi pengesanan wajah - apabila ia dilaksanakan pada masa depan.