Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MERAI HARI KEHARMONIAN KAUM

Siti Herawati: Jiran tempat bergantung jika ada kecemasan

Jul 21, 2022 | 05:30 AM



Jiran, kawan, sehaluan



Hubungan kaum yang harmoni di Singapura begitu menyerlah dalam kalangan penduduk yang hidup berjiran di kawasan kejiranan kita. Di sinilah penduduk pelbagai kaum dan dari latar belakang berbeza menjalinkan ikatan persahabatan yang bermakna lagi abadi. Sempena Hari Keharmonian Kaum, BERITA HARIAN bersembang dengan tiga jiran berbeza bangsa tentang bagaimana warna kulit tidak menjadi hambatan untuk menjalin hubungan yang sejati.




CINTAI jiran, hidup pun aman.



Bagi Cik Siti Herawati Mohd Harun, 60 tahun, hubungan baik dengan jiran amat penting dan boleh membawa pelbagai manfaat.



Hubungan baik dengan jiran juga bermakna penduduk dapat hidup harmoni dengan masyarakat dalam kejiranan mereka.



"Bila ada kecemasan, takkan nak panggil keluarga yang tinggal jauh dari kita. Yang dekat dengan kita adalah jiran kita dan merekalah yang boleh segera bantu kita kalau ada kecemasan," ujar nenek lima cucu itu yang tinggal di Blok 250 Choa Chu Kang Avenue 2 sejak hampir 30 tahun lalu.



Oleh itu, beliau berkata usaha saling mengenali dan memahami jiran dengan dekat adalah penting untuk memperkukuh hubungan antara tetangga.



Menerusi kegiatan akar umbi di kejiranannya, Cik Siti Herawati mula mengenali beberapa jiran yang tinggal di kawasan perumahannya seperti Encik Sethuraman Alagappan, 49 tahun, dan Encik Edmund Hsiuh, 47 tahun.



Sebagai contoh, mereka giat menganjurkan pelbagai acara buat penduduk seperti acara Hari Keharmonian Kaum dan menyambut Hari Kebangsaan serta membantu penduduk yang memerlukan bantuan seperti meminjam barang keperluan termasuk kerusi roda di kejiranan mereka.



Hubungan yang dijalin itu telah kian berkembang menjadi ibarat keluarga atau rakan baik yang saling mempercayai.



"Keluarga kami pun saling mengenali. Contohnya, Encik Sethuraman suka bercakap tentang kenderaan bersama suami saya. Beliau tanya suami saya di mana tempat yang bagus untuk memperbaiki kereta dan suami saya memberi saranannya.



"Waktu keluarga Encik Sethuraman mengadakan majlis perkahwinan buat anak perempuannya di sebuah kuil di sini, beliau juga menjemput kami dan saya juga dapat bertemu dengan Encik Hsiuh dan isterinya di majlis itu.



"Seronok dapat tengok cara mereka kerana ini pun kali pertama saya mendapat undangan ke majlis perkahwinan India di sebuah kuil," ujar Cik Siti Herawati.



Tambahnya, semangat kampung antara tetangganya itu begitu hidup dan ini telah membolehkan mereka mewujudkan sistem sokongan yang kukuh di antara mereka.



Antara lain, mereka juga ada kumpulan WhatsApp yang disertai penduduk di kejiranan itu.



"Waktu ibu saya meninggal dunia dahulu, ada beberapa jiran yang menghubungi saya dalam kumpulan WhatsApp itu untuk mengucapkan takziah.



"Baru-baru ini kami juga dengar ada anak jiran yang dijangkiti Covid-19, jadi kami mengucapkan semoga beliau dapat segera pulih.



"Dan waktu bekalan elektrik di blok kami terputus baru-baru ini, kami dapat memberi perkembangan terkini kepada satu sama lain," ujar Cik Siti Herawati yang tinggal bersama suami dan anak bongsunya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >