Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Skim baru bantu banduan persiap bekerja setelah dibebas

Skim Persiapan Pekerjaan (EmPS) bolehkan banduan ikuti latihan kemahiran, program pendidikan dalam masyarakat
Jan 12, 2022 | 05:30 AM



BANDUAN yang hampir selesai menjalani hukuman penjara boleh meraih manfaat daripada skim pemulihan pekerjaan dipertingkat, yang dikenali sebagai Skim Persiapan Pekerjaan (EmPS), tidak lama lagi.



Bertujuan meningkatkan daya kerja dan penyepaduan semula banduan, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata EmPS menggantikan Skim Pelepasan Kerja (WRS) yang hanya membolehkan banduan dilepas untuk keluar bekerja.



Namun, EmPS juga membolehkan banduan mengikuti latihan kemahiran dan program pendidikan dalam masyarakat.



Sekitar 90 peratus daripada 997 banduan yang menyertai WRS antara 2016 dengan 2020 berjaya menyelesaikan program itu.



Berucap di Parlimen semalam, Dr Faishal berkata usaha ini melengkapi program pekerjaan dan latihan kemahiran yang disediakan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) di penjara.



Di bawah program itu, banduan yang layak dan sesuai mengikuti EmPS menjalani bahagian akhir hukuman penjara mereka di sebuah pusat pelepasan kerja kendalian SPS.



Mereka boleh bekerja, menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran atau melanjutkan pengajian di luar penjara pada siang hari sebelum pulang ke pusat tersebut pada sebelah petang.



Mereka yang menunjukkan kemajuan baik akan dibenarkan pulang ke rumah pada hujung minggu.



Dan jika mereka terus menunjukkan kemajuan baik, mereka boleh pulang ke rumah selepas kerja, kelas atau latihan setiap hari.



Sebelum penempatan dalam EmPS, Dr Faishal berkata anggota keluarga pesalah akan diberi taklimat yang bertujuan membantu mereka lebih memahami tentang skim itu agar mereka juga boleh menggalak pesalah dalam proses penyepaduan semula dalam masyarakat.



"Pesalah yang menunjukkan kemajuan semasa fasa di tempat latihan boleh maju ke fasa cuti di rumah. Ini membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa bersama orang tersayang dan sekali gus, mengeratkan hubungan keluarga mereka.



"Jika seseorang pesalah menghadapi sebarang isu keluarga, beliau boleh memaklumkan kepada pegawai penyepaduan semula yang akan mengatur sesi bersama pesalah, anggota keluarga dan pegawai penyepaduan semula untuk menyelesaikan isu tersebut," ujarnya.



Bagaimanapun, pesalah yang tidak mempunyai sokongan keluarga yang kukuh tidak akan maju ke fasa cuti di rumah kerana struktur keluarga yang kurang stabil boleh memudaratkan proses penyepaduan semula mereka.



Sebaliknya, mereka akan tetap berada di pusat pelepasan kerja sepanjang mengikuti EmPS.



Dr Faishal berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio) yang bertanya sama ada fleksibiliti dapat diberi kepada pesalah yang kurang mendapat sokongan keluarga.



EmPS merupakan pindaan utama dalam Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) yang diluluskan di Parlimen semalam.



Selain Cik Nadia, Anggota Parlimen lain yang tampil berucap membahaskan rang undang-undang itu, yang dikemukakan buat bacaan kedua sebelum diluluskan, termasuk Encik Murali Pillai (Bukit Batok), Encik Leon Perera (GRC Aljunied), Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol), Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Raj Joshua Thomas.



Encik Sharael dan Cik Nadia turut bertanya tentang jenis latihan dan pendidikan yang boleh diikuti banduan di bawah EmPS.



Dr Faishal berkata YRSG akan membantu dengan pembangunan kerjaya jangka panjang mereka, dengan latihan yang sejajar rangka kerja SkillsFuture Singapura untuk memastikan banduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan pasaran.



YRSG juga akan bekerjasama dengan pertubuhan latihan yang diluluskan serta pusat pendidikan dan latihan berterusan (CET) untuk menyediakan latihan kemahiran bagi banduan yang menyertai EmPS selain menghasilkan set kemahiran teras yang kritikal untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih baik di tempat kerja dan meningkatkan daya kerja mereka.



Menjawab pertanyaan Encik Yip sama ada banduan di bawah EmPS akan menghadiri kelas bersama orang awam dan sama ada sebarang alat yang dapat mengaitkan mereka sebagai banduan boleh dibuka, Dr Faishal berkata mereka akan menghadiri kelas bersama orang awam, dengan mereka yang memakai teg elektronik di pergelangan kaki boleh menutupnya dengan seluar atau skirt panjang.



Tambahnya, SPS juga sedang membangunkan alat penjejak yang kelihatan seperti jam tangan digital, yang tidak menonjol seperti teg elektronik dan boleh mengurangkan stigma.



"Di bawah projek Reben Kuning, kami ingin menggalak masyarakat yang lebih menerima dan bersedia memberi peluang kedua kepada bekas pesalah untuk memulakan hidup baru.



"Keselamatan sebuah masyarakat itu dapat dicapai apabila bekas pesalah berjaya menjalani pemulihan dan dapat bersepadu semula dalam masyarakat.



"Kami harap majikan, rakan kerja dan rakan sekelas dapat memberi banduan dan bekas pesalah ini peluang kedua," kata Dr Faishal.




"Keselamatan sebuah masyarakat itu dapat dicapai apabila bekas pesalah berjaya menjalani pemulihan dan dapat bersepadu semula dalam masyarakat. Kami harap majikan, rakan kerja dan rakan sekelas dapat memberi banduan dan bekas pesalah ini peluang kedua."
- Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >