Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Skim Baucar CDC ketiga dilancar bagi bantu warga, niaga: DPM Wong

Sebahagian langkah menyeluruh pemerintah untuk kurangi kesan kenaikan harga, GST
Jan 04, 2023 | 05:30 AM



SEDANG ramai warga terus prihatin tentang isu kos sara hidup dengan inflasi dan harga yang meningkat, pemerintah telah melancarkan Skim Baucar CDC 2023 semalam.



Skim Baucar CDC yang diberikan kepada isi rumah warga Singapura buat kali ketiga sejak 2021 itu bertujuan menyokong isi rumah dengan keperluan harian mereka dan perniagaan setempat.



Melancarkannya di Kampong Admiralty semalam, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata baucar itu merupakan sebahagian daripada langkah menyeluruh pemerintah untuk mengurangkan kesan harga yang lebih tinggi serta kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) baru-baru ini terhadap warga Singapura.



Setiap isi rumah warga Singapura kini boleh mendapatkan Baucar CDC berjumlah $300, dengan separuh daripada jumlah itu atau sebanyak $150 boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.



Lima rangkaian pasar raya setempat yang menerima Baucar CDC itu ialah NTUC FairPrice, Sheng Siong, Prime Supermarket, HAO Mart dan U Stars Supermarket - yang kesemuanya mempunyai lebih 300 cawangan secara keseluruhan di serata Singapura.



Ini merupakan kali pertama Baucar CDC boleh digunakan di pasar raya sejak skim itu diperkenal.



Baki $150 daripada Baucar CDC yang diterima isi rumah warga Singapura tahun ini masih boleh digunakan di sekitar 20,300 gerai penjaja dan kedai kejiranan yang mengambil bahagian dalam skim itu.



Selepas Baucar CDC itu diberikan kepada warga dua kali sebelum ini, Encik Wong berkata pemerintah mendapat maklum balas daripada ramai warga Singapura yang menginginkan lebih fleksibiliti untuk menggunakan baucar itu untuk berbelanja di pasar raya.



Pada masa yang sama, terdapat juga keprihatinan daripada ramai pemilik kedai kejiranan dan gerai penjaja yang menyertai skim tersebut tentang kesan yang mungkin timbul sekiranya baucar itu diperluas hingga dapat digunakan di pasar raya juga.



Ini kerana skim tersebut pada asalnya bertujuan membantu mereka, ujar beliau.



"Selepas mempertimbang maklum balas daripada kedua-dua pihak itu dengan berhati-hati, Kementerian Kewangan (MOF) memutuskan untuk membahagi baucar itu kepada dua bahagian... dengan $150 atau separuh jumlahnya akan terus diperuntuk bagi kedai kejiranan dan gerai penjaja yang mengambil bahagian.



"Baki $150 daripada jumlah itu akan diperuntuk bagi pasar raya yang mengambil bahagian," ujar Encik Wong.



Baucar itu juga diberi warna yang berbeza, dengan warna biru digunakan bagi baucar yang boleh digunakan di gerai penjaja dan kedai kejiranan manakala warna kuning bagi baucar yang boleh digunakan di pasar raya.



Baucar CDC 2023 itu boleh digunakan hingga 31 Disember tahun ini.



Selain Baucar CDC, Encik Wong berkata pemerintah juga menawarkan bantuan kepada warga Singapura menerusi pelbagai cara lain termasuk memberikan wang tunai hingga $700 kepada rakyat dewasa Singapura bulan lalu dan rebat U-save untuk membantu membiayai bil utiliti isi rumah.



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata kementeriannya kini sedang mengusahakan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan beliau pada 14 Februari.



"Kami akur akan keprihatinan ramai orang berhubung kos sara hidup dan oleh itu sedang meninjau langkah tambahan dalam Belanjawan untuk menyokong warga Singapura sepanjang tahun ini, khususnya mereka yang lebih mudah terjejas dan golongan berpendapatan rendah," ujarnya.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >