Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Setempat

BANTUAN BAGI PELAJAR BELAJAR DI RUMAH DALAM TEMPOH PEMUTUS LITAR

Skim makanan bagi 12,000 pelajar dari 'keluarga susah'

Apr 15, 2020 | 05:30 AM

SEKITAR 12,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di blok rumah sewa bakal mendapat lebih bantuan sewaktu tempoh pemutus litar menerusi Skim Makanan Pelajar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).

Skim tersebut yang dilancarkan semalam adalah kerjasama antara CDC, penduduk tetap Singapura Dr Tahir, seorang dermawan serta Grab Singapore, menurut satu kenyataan media semalam.

Disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tinggal di unit di bawah Skim Sewa Awam, ia bertujuan membantu keluarga membiayai kos membeli makanan sewaktu pelajar sedang menjalani pembelajaran di rumah (HBL) sewaktu tempoh pemutus litar.

Sebanyak $660,000 diketepikan buat skim tersebut.

Sementara Dr Tahir menderma $300,000 kepada skim ini, Grab menyumbang $60,000. Baki $300,000 pula disumbang CDC.

Dr Tahir, pengasas Mayapada Group berkata: "Perjuangan menentang wabak Covid-19 ibarat berjuang dalam peperangan. Untuk menang peperangan ini, ia memerlukan usaha bersepadu merentasi pemerintah, syarikat dan individu, dan semua mempunyai tanggungjawab untuk mengambil bahagian.

"Saya berharap dapat memainkan peranan sebagai penduduk tetap Singapura dan menyumbang kepada masyarakat Singapura menerusi derma ini."

Mengulas tentang usaha itu, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan) Dr Mohd Maliki Osman berkata ini tempoh mencabar bagi warga Singapura dan ramai terjejas oleh keadaan Covid-19 lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di rumah sewa bersama kanak-kanak bersekolah.

"Kami harap program makanan ini akan meringankan beban kewangan keluarga ini dan memberikan makanan berkhasiat baik untuk anak-anak mereka sedang mereka terus mengambil bahagian dalam pembelajaran di rumah dengan baik," ujarnya yang juga merupakan Datuk Bandar Daerah South East.

Pelajar yang layak akan diberikan e-baucer dalam bentuk baucar GrabFood, untuk membeli makanan dari lebih 7,000 peniaga makanan yang mengambil bahagian di Singapura.

Skim itu menggunakan teknologi demi menggalakkan amalan jarak selamat, menerusi wadah Grab.

Grab akan membantu CDC mengagihkan baucar tersebut kepada pelajar yang layak dengan mengimbangi kos makanan di kedai peniaga GrabFood yang layak.

Setiap pelajar yang layak akan menerima $55 untuk memesan dan mengambil makanan daripada peniaga berdekatan dengan pilihan ambil sendiri di aplikasi GrabFood sewaktu tempoh pemutus litar.

Mereka juga boleh memesan makanan lebih awal dengan pilihan ambil makanan sendiri dan mengambilnya apabila sudah siap.

"Ini juga akan membantu pelajar untuk mengelak daripada beratur dan mengehadkan masa yang diluangkan di luar rumah sewaktu tempoh HBL ini," menurut kenyataan itu.

Pengarah pengurusan Grab Singapore Yee Wee Tang berkata mereka maklum bahawa pengalaman mereka sebagai syarikat wadah boleh digunakan sewaktu waktu mencabar ini untuk membantu masyarakat.

"Skim Makanan Pelajar CDC itu adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang kami telah tetapkan untuk memperluas bantuan kepada golongan kurang bernasib baik sambil menyokong perniagaan makanan dan minuman (F&B) kami pada masa yang sama kerana kami telah mengecualikan bayaran komisen untuk pesanan ambil sendiri sewaktu tempoh ini.

"Kami percaya jika kami berdiri teguh sebagai satu masyarakat, kami boleh mengatasi situasi ini," katanya lagi.


KELAYAKAN DAN PERMOHONAN

Untuk layak bagi Skim Makanan Pelajar CDC, kriteria adalah seperti berikut:

a) Pelajar kini menuntut di sekolah menengah dan/atau sekolah rendah yang tinggal di blok rumah sewa; dan

b) Perlu menjadi sebahagian daripada isi rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu warga Singapura yang tinggal di unit di bawah skim sewa awam.

Setiap pelajar yang layak akan terima 11 baucar GrabFood, yang bernilai $5 setiap satu, untuk digunakan sehingga 31 Mei 2020.

Baucar perlu digunakan sepenuhnya kerana tidak ada pembayaran balik bagi nilai yang tidak digunakan.

Tempoh permohonan bagi skim ini adalah dari 14 hingga 27 April 2020.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian