Skim pelaburan $35 juta: CEO ditahan polis

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah firma yang mengendalikan satu skim pelaburan hibah telah diberkas polis kelmarin dan sedang membantu polis dalam siasatan.

Akhbar Berita Harian (BH) difahamkan, Encik Muhamad Aidith telah ditahan oleh Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD).

Menjawab pertanyaan BH, polis dalam jawapannya menerusi e-mel menyatakan:

"Polis mengesahkan beberapa laporan telah dibuat. Seorang lelaki berusia 42 tahun telah diberkas dan sekarang sedang membantu siasatan.

"Memandangkan siasatan sedang giat dijalankan, adalah tidak wajar mengulas lebih lanjut."

Baru-baru ini, BH mendedahkan bahawa CAL Academy Pte Ltd mengelolakan skim pelaburan hibah yang menyaksikan dividen sekitar $35 juta kepada pelabur telah tertunggak sejak Jun tahun lalu.

Encik Muhamad Aidith, mantan juruterbang komersial berusia 42 tahun, dipercayai telah dipanggil untuk membantu siasatan sejak Selasa lalu.

Di bawah skim pelaburan itu, pelabur dikatakan telah dijanjikan pulangan $220 atau 15 peratus sebulan bagi setiap unit bernilai $1,340.

Sejak skim itu diperkenal lebih dua tahun lalu, difahamkan ada sekitar 800 individu telah 'melabur' sehingga $20 juta.

Namun, skim itu mula dilanda masalah apabila dividen dikatakan tidak dibayar Encik Muhamad Aidith.

Dalam temu bual dengan BH yang diterbitkan Disember lalu, beliau mendakwa masalah timbul apabila komisen yang sepatutnya beliau nikmati hasil merekomen beberapa syarikat yang mahu mendapatkan pembiayaan projek menerusi sebuah syarikat konsultan tidak dikotakan.

Beberapa pelabur besar kemudian membuat laporan kepada polis.

Seorang daripada mereka, Encik Shah Idil Shahbudin, jurutera pesawat, 62 tahun, melabur sebanyak $747,720 sejak Disember 2015.

Dalam temu bual dengan BH sebelum ini, Encik Shah Idil mengaku telah menerima dividen sebanyak $481,360 dan ini bermakna modal yang masih tersangkut sebanyak $266,360.

Dividen yang tersangkut pula sebanyak $122,000 sebulan atau sekitar $1.2 juta sehingga sekarang.

"Bila masalah ini berlaku barulah saya sedar pelaburan yang saya sertai ini lebih disebabkan perasaan tamak dan nak untung besar tanpa fikir masak-masak.

"Risikonya yang amat tinggi. Saya kesal atas apa yang berlaku.

"Sudahlah tak untung, rugi lagi ada,'' tambahnya yang telah membuat laporan polis pada 10 Januari lalu.

BH difahamkan bahawa Encik Muhamad Aidith telah dibebaskan dengan ikat jamin $40,000 petang semalam.

BH juga difahamkan bahawa dokumen-dokumen berkaitan skim dan pengurusan pelaburan tersebut telah dirampas daripada pejabat CAL Academy di Gambas dan rumah seorang pegawai kanannya dalam dua serbuan berasingan sebelum itu.