SEBUAH skim dengan seorang dewasa terlatih menemani suspek muda semasa temu duga penguatkuasa undang-undang akan diperluaskan untuk meliputi suspek berumur 16 dan 17 tahun.
Skim Dewasa Sesuai bagi Suspek Muda (AAYS) buat masa ini hanya untuk suspek di bawah umur 16 tahun.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata mulai April depan, had umur akan dinaikkan secara berperingkat, dengan matlamat untuk melengkapkan perluasan itu menjelang Oktober tahun depan.
Beliau menambah bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang berusaha untuk membangunkan kumpulan sukarelawan dewasa yang terlatih.
"Suspek muda mungkin memerlukan lebih banyak sokongan semasa temu duga. Oleh itu, seboleh-bolehnya, polis akan menemu duga suspek muda di balai polis, jauh dari sekolah atau tempat kerja mereka," kata Cik Sun, ketika menjawab soalan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).
Beliau menambah, sekiranya temu duga perlu dilakukan di sekolah atau tempat kerja, polis akan elak daripada menarik perhatian yang tidak perlu kepada suspek muda atau menyebabkan suspek muda berasa malu dengan memakai pakaian biasa dan menggunakan kenderaan yang tidak bertanda, sebagai contoh.
Cik Sun juga berkata bahawa sukarelawan menjalani latihan berstruktur, termasuk sesi sehari yang dikendalikan oleh Persatuan Kanak-Kanak Singapura. Latihan mereka juga disokong oleh Persatuan Peguam Jenayah Singapura, Persatuan Undang-undang Singapura dan Jabatan Peguam Negara.
Mengenai sama ada ibu bapa boleh secara sukarela menjadi orang dewasa yang sesuai, beliau berkata: "Ibu bapa suspek mungkin mempunyai konflik kepentingan, atau mungkin dianggap mempunyai konflik kepentingan, jadi kami tidak akan membenarkan ibu bapa suspek sendiri menjadi orang dewasa yang sesuai."
Beliau menambah bahawa jika ibu bapa mahu secara sukarela menjadi orang dewasa yang sesuai untuk suspek muda yang tidak berkaitan dengan mereka, ini adalah digalakkan.
Peluasan skim itu dibuat selepas Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada November lalu berkata MHA sedang melakukan semakan untuk memperluaskan AAYS bagi meliputi mereka yang berumur 16 dan 17 tahun.