Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Skim VTL bantu rangsang perjalanan, pelancongan SG dan M'sia

Nov 10, 2021 | 05:30 AM



SKIM Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) dengan Malaysia yang diumumkan kelmarin akan membantu merangsang perjalanan dan pelancongan antara kedua-dua Singapura dengan Malaysia sambil menyatukan semula keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama terpisah, kata pemain industri dan ahli ekonomi.



Berita VTL dengan Malaysia itu sesuatu yang amat dinanti-nantikan rakyat Singapura dan Malaysia, dengan ramai mahu memanfaatkan peluang di bawah skim itu untuk bertemu dengan orang tersayang atau melakukan percutian pendek.



VTL antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa kuarantin itu akan dilancarkan pada 29 November ini.



Pengarah, Tourism Malaysia di Singapura, Encik Salahuddin Mohd Ariffin, berkata selepas hampir dua tahun tidak dapat melakukan percutian, rakyat kedua-dua negara itu tidak sabar untuk melancong.



"Berita ini akan memberikan kelegaan kepada ramai pihak di kedua-dua belah sempadan.



"Disebabkan hubungan rapat kita, perkembangan ini membolehkan percutian pendek dilakukan dan keluarga disatukan semula," kata beliau.



Encik Salahuddin menambah bahawa jumlah keseluruhan ketibaan dari Singapura ke Malaysia pada 2019 ialah 10,163,882, atau 38.9 peratus daripada perkongsian pasaran.



Ahli ekonomi OCBC Bank, Encik Wellian Wiranto, berkata memandangkan koridor udara antara KLIA dengan Lapangan Terbang Changi merupakan yang kedua tersibuk di dunia - penumpang ke dan dari Singapura merangkumi hampir 10 peratus ketibaan yang melalui sistem KLIA pada 2019 - itu saja sudah merupakan satu perangsang besar.



Beliau menambah bahawa rakyat Singapura pernah membentuk sekitar 39 peratus daripada kesemua pengunjung ke Malaysia, yang merupakan kadar terbesar resit pelancongan negara itu.



"Meskipun Singapura mempunyai aturan laluan perjalanan dengan sejumlah 16 negara, menaiki penerbangan selama 50 minit ke Kuala Lumpur itu mungkin percutian pendek paling mudah dan cepat bagi kebanyakan orang," kata beliau.



Sementara itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) turut mengalu-alukan pengumuman aturan VTL dengan Malaysia itu, sambil berkata pihaknya menyokong semua langkah untuk membuka semula Singapura bagi pelancongan antarabangsa tanpa kuarantin, dan memulihkan kedudukan Lapangan Terbang Changi sebagai sebuah hab udara utama.



SIA Group, yang merangkumi penerbangan bajet Scoot, kini mengendalikan 25 penerbangan setiap minggu antara Singapura dengan Kuala Lumpur.



Sebelum pandemik Covid-19, ia mengendalikan 91 penerbangan setiap minggu antara dua destinasi itu.



Memberikan perbandingan, laman tempahan penginapan, Agoda, berkata data menunjukkan jumlah purata pencarian bagi penginapan dari Malaysia ke Singapura telah meningkat sebanyak lima kali kelmarin setelah VTL itu diumumkan berbanding pencarian yang dilakukan antara 1 Oktober dengan 7 November lalu.



Bagi pencarian penginapan dari Singapura ke Malaysia pula, ia telah bertambah sebanyak tiga kali kelmarin berbanding antara 1 Oktober dengan 7 November lalu.



Pengarah serantau, Asia Pasifik Selatan, di laman tempahan penginapan Booking.com, Encik Nuno Guerreiro, berkata meskipun situasi sedang berkembang, pihaknya secara umumnya telah menyaksikan kenaikan keseluruhan dalam pencarian bagi tempahan untuk negara-negara VTL seiring dengan pengumuman pemerintah.



"Walau bagaimanapun, penginapan di Kuala Lumpur sentiasa menduduki tangga atas bagi destinasi ingin dikunjungi pengunjung Singapura malah sebelum pandemik - dengan Kuala Lumpur menduduki 10 tempat teratas dari segi pencarian oleh pengguna di Singapura.



"Destinasi lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka juga popular bagi pengunjung yang merancang membuat perjalanan ke Malaysia," kata beliau.




"Berita ini akan memberikan kelegaan kepada ramai pihak di kedua-dua belah sempadan.

Disebabkan hubungan rapat kita, perkembangan ini membolehkan percutian pendek dilakukan dan keluarga disatukan semula."

- Pengarah, Tourism Malaysia di Singapura, Encik Salahuddin Mohd Ariffin.



"Meskipun Singapura mempunyai aturan laluan perjalanan dengan sejumlah 16 negara, menaiki penerbangan selama 50 minit ke Kuala Lumpur itu mungkin percutian pendek paling mudah dan cepat bagi kebanyakan orang."
- Ahli ekonomi OCBC Bank, Encik Wellian Wiranto




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >