Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

FORUM EKONOMI BARU BLOOMBERG 2021

SM Tharman: Dunia perlu buat persiapan awal hadapi pandemik seterusnya

Nov 18, 2021 | 05:30 AM



DUNIA perlu membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi pandemik seterusnya dan ini memerlukan kerjasama antarabangsa dan antara sektor swasta dan awam serta perkongsian risiko secara global, kata Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.



Ini terutama sekali dalam memastikan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran dan pengagihan terus diperkukuh di peringkat awal lagi, kata Encik Tharman, dan keperluan ini jelas kelihatan melalui contoh pandemik Covid-19 yang melanda dunia.



Persiapan awal serta kerjasama yang lebih mendalam antara sektor swasta dan awam diperlukan kerana pasaran swasta tidak dapat melakukannya sendiri disebabkan faktor yang tidak menentu jika berlakunya sesuatu pandemik, tambahnya.



"Kos persiapan awal sangat rendah berbanding kos yang akan diperlukan jika tiada persiapan dilakukan. Ini kita pelajari melalui pandemik Covid-19.



"Ini memerlukan kerjasama antarabangsa dan kos kerjasama ini sangat rendah jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang diperlukan jika kita tidak bekerjasama," kata Encik Tharman semasa Forum Ekonomi Baru Bloomberg semalam.



Menurut Encik Tharman, dunia memerlukan badan R&D global seperti agensi pembangunan vaksin Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Lanjutan Bioperubatan (Barda) di Amerika Syarikat.



"Kita perlukan Barda global, ini yang kita perlu sediakan awal lagi. Berserta perkongsian risiko kewangan awam, baik dari segi penyelidikan dan pembangunan hingga membangunkan keupayaan pengeluaran," katanya, yang merupakan salah seorang anggota panel perbincangan "Pemulihan Global Dua-Kelajuan: Bahaya Jurang Kaya-Miskin yang semakin Meluas".



Sesi tersebut membincangkan tentang cara terbaik supaya negara maju, yang kini dalam proses pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dapat bekerjasama dan membantu negara membangun yang masih dalam usaha menangani virus itu.



Dalam pada itu, Encik Tharman akui kepercayaan terhadap institusi, pemerintah, antara negara maju dan membangun semakin berkurangan dan ini isu penting untuk ditangani.



Ini tidak mungkin dapat dilakukan hanya melalui naratif atau kata-kata sahaja, tetapi ia memerlukan "usaha konkrit dan kolaboratif", dalam semua isu termasuk perubahan iklim, mahupun pengeluaran dan pengagihan vaksin.



Antara topik lain yang dibincangkan semasa sesi tersebut termasuk peranan teknologi kewangan (fintech) dalam usaha merapatkan jurang perbezaan antarabangsa.



Anggota panel juga bersetuju bahawa teknologi seperti blockchain dan crypto membuka pelbagai peluang dalam mewujudkan sistem kewangan yang lebih inklusif.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PayPal, Dan Schulman, pandemik Covid-19 telah mendedahkan trend yang telah lama wujud sebelum ini dan berkata lebih 1.7 bilion orang seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada khidmat kewangan.



"Saya rasa dunia perniagaan kini semakin sedar akan pihak berkepentingan lain termasuk kakitangan kami, pemerintah, pengawal selia dan pelanggan.



"Kita perlu memikirkan tentang peranan kita sebagai syarikat dan memastikan keuntungan dan tujuan dapat dicapai bersama.



"Selain untuk meraih keuntungan, kita juga perlu fikirkan kesan yang kita dapat tinggalkan di dunia," katanya.



Dua lagi anggota panel lain terdiri daripada Timbalan Presiden Tanzania, Dr. Philip Isdor Mpango dan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AZA Finance, Elizabeth Rossiello.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >