Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SM Tharman miliki ciri satukan negara, populariti mungkin halang saingan: Pengamat

‘Miliki segala pengalaman yang diperlukan untuk galas peranan presiden’
Jun 10, 2023 | 05:30 AM



Pengamat politik dan pemimpin masyarakat yakin Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang berhasrat bertanding bagi jawatan Presiden, mempunyai sifat dan ciri yang boleh menyatukan negara tanpa mengira bangsa, agama, latar belakang dan kecenderungan politik.

Namun, pada masa sama, mereka menimbulkan perkara sama ada populariti Encik Tharman mungkin menghalang individu lain daripada bertanding, yang boleh menyebabkan beliau meraih kemenangan tanpa bertanding.

Encik Tharman, 66 tahun, pada Khamis, menjadi orang pertama yang secara terbuka mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

Pilihan Raya Presiden perlu diadakan sebelum penggal enam tahun Presiden Halimah Yacob tamat pada 13 September. Presiden Halimah telah menyatakan tidak akan bertanding.

Encik Tharman pula telah menyatakan hasratnya itu dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada Khamis dengan beliau juga mengumumkan dirinya akan bersara daripada politik dan semua jawatannya dalam pemerintah.

Beliau juga memberitahu Encik Lee dirinya ingin meletak jawatan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan mengundur diri daripada jawatan Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial pada 7 Julai.

Encik Tharman berkata beliau berasa rendah hati dengan permintaan yang diterima dalam beberapa bulan kebelakangan ini oleh rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan masyarakat, untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden jika Presiden Halimah memilih untuk tidak bertanding lagi.

Dihubungi Berita Harian pada Jumaat, Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata nama Encik Tharman sudah lama berada dalam fikiran ramai rakyat Singapura sebagai calon yang berpotensi untuk memimpin negara.


Satu tinjauan pada 2016 ke atas warga Singapura di sini menunjukkan Encik Tharman menjadi pilihan utama mereka untuk menjadi perdana menteri keempat Singapura.

“Memandangkan sifat peranan yang diberikan kepada jawatan Presiden, saya fikir beliau akan layak dan menjadi calon sesuai untuk jawatan itu. Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Kewangan dan memegang portfolio-portfolio penting sebagai seorang menteri, justeru beliau mempunyai semua pengalaman yang diperlukan untuk menggalas peranan itu,” kata Dr Norshahril.

Pengasas dan anggota lembaga Pusat Pemahaman Antara Agama (Cifu), Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata sesiapa yang menjadi Presiden seterusnya menghadapi tugas genting untuk menyatukan rakyat Singapura demi mengharungi cabaran global semasa, dan beliau berpendapat Encik Tharman dapat memainkan peranan itu.

“Beliau sangat dihormati pelbagai golongan masyarakat di Singapura dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa. Saya yakin beliau akan dapat menyatukan rakyat Singapura merentasi garisan kaum, agama dan afiliasi politik,” katanya.

Sependapat, pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan, berkata beliau yakin Encik Tharman akan menjadi seorang Presiden cemerlang, yang berupaya melihat gambaran besar dan butiran kecil dalam apa jua perkara.

“Beliau seorang pemimpin yang benar-benar mendengar dan melakukan yang terbaik untuk memberi bantuan. Beliau seorang yang ikhlas dan merendah hati, sifat-sifat yang telah membuatnya dihormati, bukan sahaja di Singapura bahkan di seluruh dunia,” katanya sambil menambah bahawa Encik Tharman sentiasa menyokong Casa Raudha dan usahanya untuk memperkasa wanita.

Lembaga Pengarah AMP dalam kenyataannya berkata pertubuhan itu menyambut baik keputusan Encik Tharman untuk tampil sebagai calon dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.

“Kelayakan beliau yang baik, sumbangan ketara kepada negara, serta dedikasi kepada perkhidmatan awam menjadikan beliau antara calon yang sesuai,” katanya.

Pengamat politik, Encik Zulkifli Baharudin, pula memberitahu The Straits Times: “Encik Tharman setara dengan apa yang saya sebut sebagai pilihan nuklear PAP, bermakna anda tidak akan memperolehi formula kemenangan yang lebih baik bagi PAP.


“Adalah penting bagi mana-mana pemerintah menyokong calon yang, walaupun beliau sepatutnya bebas dalam tugasnya, masih merupakan seseorang yang mereka boleh bekerja bersama dan memenangi pilihan raya.”

Beliau menambah, Encik Tharman menarik hati ramai rakyat Singapura tanpa mengira kaum, kelas sosio-ekonomi, mahupun parti politik.

Namun, satu ‘risiko’ yang mungkin timbul apabila calon yang kuat seperti Encik Tharman mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding ialah ia boleh mematahkan semangat orang lain daripada tampil bertanding, kata Encik Zulkifli.

“Perlukan seorang yang berani untuk melawan Encik Tharman... saya yakin ramai orang yang mungkin mempunyai hasrat untuk bertanding kini akan berfikir dua kali,” tambahnya.

Encik Mohamed Imran bagaimanapun berharap akan ada pertandingan dalam Pilihan Raya Presiden kali ini supaya mandat Presiden mendapat sokongan jelas daripada rakyat.

“Ini penting memandangkan beliau datang daripada parti pemerintah dan jawatan Presiden tidak berpihak kepada mana-mana parti,” katanya.

Puan Halimah dan mendiang Presiden S R Nathan telah menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Presiden sebelum ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >