Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PAKEJ BANTUAN TANGANI INFLASI: PERNIAGAAN

SME boleh mohon geran cekap tenaga tampung kenaikan kos

Jun 22, 2022 | 05:30 AM



BAGI membantu perusahaan di sini menguruskan bil tenaga mereka, pemerintah akan memperkenalkan langkah-langkah yang akan membantu mereka menampung peningkatan kos tenaga yang semakin meningkat dengan cara yang lebih mampan.



Firma tempatan dalam beberapa sektor tidak lama lagi akan dapat memohon Geran Kecekapan Tenaga yang baru diumumkan semalam.



Geran tersebut akan menyediakan syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam sektor perkhidmatan makanan, pengilangan makanan dan runcit dengan sokongan pembiayaan sehingga 70 peratus untuk memasang peralatan cekap tenaga bagi kategori-kategori yang diluluskan terlebih dahulu.



Mengumumkannya semalam, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya berkata sektor-sektor yang layak menerima geran baru ini adalah antara yang paling terjejas teruk oleh harga elektrik yang lebih tinggi, dari segi kesan ke atas kos perniagaan keseluruhan mereka.



Dihadkan pada $30,000 bagi setiap syarikat, ia akan meliputi peralatan cekap tenaga seperti lampu LED, alat penghawa dingin, dapur gas, peti sejuk, alat pemanas air dan pengering.



"Geran itu akan menyokong syarikat sedemikian untuk meningkatkan kecekapan tenaga mereka dan mengurangkan kos perniagaan yang meningkat berikutan kenaikan harga tenaga," tambah kementerian itu.



"Ini adalah cara yang lebih mampan untuk membantu perniagaan kami menguruskan harga tenaga yang di luar kawalan kami."



Geran ini melengkapkan inisiatif kecekapan tenaga lain seperti Dana Kecekapan Tenaga NEA, yang menyokong perniagaan dalam sektor pengilangan, serta Skim Insentif Tanda Hijau Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk Bangunan Sedia Ada 2.0, tambah Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat, ketika bercakap di sidang media bagi mengumumkan langkah sokongan tambahan pemerintah untuk syarikat dan isi rumah.



Untuk memohon geran baru, pemohon perlu mempunyai perniagaan yang berdaftar di Singapura dan peralatan yang dibeli juga harus digunakan di sini.



Syarikat-syarikat yang berminat boleh memohon geran itu mulai 1 September tahun ini hingga 31 Mac tahun depan.



Mereka mempunyai sehingga setahun dari masa permohonan dikemukakan untuk membeli peralatan cekap tenaga ini dan mengemukakan tuntutan untuk pembayaran balik.



Tempoh membuat tuntutan ini akan dibuka hingga 31 Mac 2024.



Selain sokongan langkah-langkah cekap tenaga, terdapat juga sokongan untuk membantu syarikat tempatan yang mempunyai masalah aliran kewangan, kata Encik Chee.



Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Perdagangan akan dipertingkatkan, dengan kuantum pinjaman maksimum meningkat daripada $5 juta kepada $10 juta bermula 1 Julai tahun ini hingga 31 Mac tahun depan.



Pemerintah juga akan terus menyediakan sebanyak 70 peratus bahagian risiko untuk skim itu sepanjang tempoh ini.



Mulai hari ini hingga 30 September tahun nanti, syarikat-syarikat juga boleh memanfaatkan Program Pinjaman Jambatan Sementara untuk keperluan modal pekerjaan mereka.



Apabila program ini tamat, Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Modal Kerja SME juga akan dipertingkatkan, dengan kuantum pinjaman maksimum meningkat daripada $300,000 kepada $500,000 dari 1 Oktober tahun ini hingga 31 Mac tahun depan.



Encik Chee berkata pemerintah sedar akan cabaran kos operasi yang lebih tinggi serta kebimbangan aliran tunai yang semakin tinggi yang dihadapi oleh perniagaan di sini.



Dalam pada masa yang sama, sesetengah perniagaan baru juga baru sahaja pulih daripada kesan Covid-19.



"Pemerintah memahami kebimbangan anda dan kami akan bertindak untuk mengurangkan kenaikan kos tenaga dan buruh jangka pendek ini.



"Pada masa yang sama, kami perlu meneruskan usaha transformasi perusahaan dan tenaga kerja, terutamanya dalam bidang kecekapan tenaga dan produktiviti buruh.



"Ini menjadi kunci untuk meningkatkan daya saing ekonomi Singapura, yang seterusnya akan membolehkan pekerja kita mendapat pekerjaan yang lebih baik dan memperoleh gaji yang lebih tinggi dari semasa ke semasa.



"Ini merupakan cara terbaik untuk menangani peningkatan kos dalam jangka masa yang panjang," kata Encik Chee.




Geran itu akan menyokong syarikat sedemikian (SME dalam sektor perkhidmatan makanan, pengilangan makanan dan runcit) untuk meningkatkan kecekapan tenaga mereka dan mengurangkan kos perniagaan yang meningkat berikutan kenaikan harga tenaga. Ini adalah cara yang lebih mampan untuk membantu perniagaan kita menguruskan harga tenaga yang di luar kawalan kami.”
- Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat.




BANTUAN BAGI PERNIAGAAN



Geran Kecekapan Tenaga



Menyediakan SME dalam sektor perkhidmatan makanan, pengilangan makanan dan runcit dengan sokongan pembiayaan sehingga 70 peratus untuk memasang peralatan cekap tenaga bagi kategori-kategori yang diluluskan terlebih dahulu.



Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Perdagangan



Kuantum pinjaman maksimum meningkat daripada $5 juta kepada $10 juta bermula 1 Julai tahun ini hingga 31 Mac tahun depan; pemerintah menyediakan sebanyak 70 peratus bahagian risiko untuk skim itu sepanjang tempoh ini.



Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Modal Kerja SME



Kuantum pinjaman maksimum meningkat daripada $300,000 kepada $500,000 dari 1 Oktober tahun ini hingga 31 Mac tahun depan selepas Program Pinjaman Jambatan Sementara tamat pada 30 September.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >