PENGENDALI pengangkutan awam SMRT akan memperkenal langkah pengawalan banjir di empat lokasi lain menjelang April ini.
Sistem itu sudah dilaksanakan di stesen MRT Bishan demi menghindari insiden kebanjiran Oktober lalu berulang.
Empat lokasi itu - berdekatan stesen MRT Lavender, Redhill, Kembangan dan Expo di Laluan Timur-Barat (EWL) - ialah bahagian pintu terowong di mana landasan atas tanah memasuki terowong bawah tanah, lapor The Straits Times.
Pada 7 Oktober lalu, kebanjiran dalam terowong antara stesen MRT Braddell dengan Bishan berlaku akibat sistem pam air antibanjiran yang tidak disenggara dengan baik.
Kejadian tersebut menjejas sebahagian besar Laluan Utara-Selatan (NSL) sekitar 20 jam dan 250,000 penumpang.
Langkah pengawalan kebanjiran baru itu termasuk menambah suis pelampung dan mengalihkan panel kawalan pam - yang digunakan bagi mengaktifkan pam air secara manual - ke kawasan yang boleh dimasuki kakitangan penyenggara meskipun pada waktu kereta api beroperasi, kata pengarah bangunan dan perkhidmatan SMRT, Encik Siu Yow Wee.
Pada mulanya, terdapat lima suis pelampung. Kini, ada lapan suis menyusuli kejadian Oktober itu.
Suis itu memberi amaran kepada kakitangan apabila paras air dalam lubang di terowong kereta api naik terlalu tinggi.
Bagi panel kawalan pam pula, kakitangan biasanya perlu memasuki kawasan landasan untuk menggunakan panel tersebut, yang boleh mengambil masa hingga 20 minit, ujar Encik Siu.
Oleh sebab itu, menempatkan semula panel itu di lokasi baru menjadikan akses kepadanya lebih pantas apabila ada keperluan.