PENERIMA mesej pesanan ringkas (SMS) daripada pertubuhan yang belum mendaftar bersama pendaftaran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan melihat mesej teks dilabel sebagai “kemungkinan menipu” atau ‘likely scam’ mulai 31 Januari.
Dalam langkah untuk menangani masalah penipuan di sini, IMDA mengumumkan bahawa semua pertubuhan yang menghantar SMS menggunakan ID pengirim angka abjad dikehendaki mendaftar bersama Pendaftar ID Pengirim SMS Singapura (SSIR).
“Pendaftaran adalah untuk melindungi pengguna dengan lebih baik daripada SMS yang tidak berdaftar yang mungkin adalah penipuan,” kata IMDA pada Rabu (25 Jan).
Ia menambah bahawa pengguna yang menerima SMS yang dilabel sebagai “kemungkinan menipu” patut berhati-hati kerana sistem itu berfungsi seperti ‘tong’ spam.
Sekiranya mereka tidak pasti, pelanggan digalak untuk bertanya rakan dan keluarga.
IMDA berkata semua pertubuhan yang menggunakan ID pengirim angka abjad, yang biasanya mengandungi nama jenama dan mungkin mengandungi kedua-dua abjad dan nombor, patut mendaftar awal bersama SSIR.
Mereka yang belum mendaftar dinasihati agar berbuat demikian, tambah pihak berkuasa itu.