KISAH perjalanan seekor semut, Andi, sekeliling dunia untuk mencari erti persahabatan menjadi jalan cerita pementasan Adventures With Andi yang dianjurkan KidSTART Singapore pada Jun ini.
Pementasan ini merupakan satu adaptasi daripada buku bersiri ‘What Ants Do’ yang ditulis Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, sempena Minggu Keluarga Nasional (NFW).
“Dengan membawa dunia seni kepada para keluarga, saya ingin ibu bapa menyaksikan bagaimana kita boleh mempunyai impian yang berbeza seperti menjadi penulis drama atau pelakon. Jika kanak-kanak meminati seni, kita harus meraikan kepelbagaian bakat mereka dan membantu mereka mencapai potensi mereka,” jelas Cik Sun.
Adventures With Andi merupakan pementasan interaktif yang tergolong daripada sesi kraf dan lagu-lagu interaktif, sesuai untuk seisi keluarga.
Jalan cerita pementasan tersebut juga menekankan nilai-nilai murni seperti kerjasama dan berbuat baik kepada para penonton.
Menurut kenyataan KidSTART Singapore, pementasan ini memberikan peluang untuk keluarga meluangkan masa bersama, memupuk interaksi mendalam antara ibu bapa dan anak serta mengasah kemahiran bahasa kanak-kanak.
“Pengalaman seperti membaca, bercerita dan menghadiri pementasan teater bukan sahaja menyokong perkembangan kemahiran bahasa dan menggalakkan imaginasi dan kreativiti di kalangan kanak-kanak, tetapi ia juga memberi peluang untuk keluarga meluangkan masa berkualiti serta bermain. Ini menyokong perkembangan holistik kanak-kanak semasa kecil lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KidSTART Singapore, Cik Rahayu Buang.
SP Group juga telah menaja sekitar 450 keluarga untuk menikmati pementasan ini dan telah mengagihkan buku-buku bersiri Cik Sun.
Pementasan Adventures With Andi akan diadakan pada 9 hingga 11 Jun dan tiket boleh didapatkan di https://www.sistic.com.sg/events/andi0623