Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) akan mempertingkat sokongan untuk prasekolah bagi menangani tekanan yang dihadapi tenaga pengajar sektor itu, yang mungkin membawa kepada “kejadian tidak diingini” baru-baru ini, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, di Parlimen pada Isnin.
Ini termasuk memastikan peningkatan kerjaya lebih baik, gaji lebih tinggi dan persekitaran pekerjaan lebih elok bagi guru prasekolah serta mengadakan program yang memberi tumpuan pada kesejahteraan mereka.
Cik Sun berkata demikian semasa menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) berkaitan pengawasan dan pengurusan murid di pusat prasekolah.
Ini berikutan kes penganiayaan murid di dua prasekolah Kinderland – Kinderland@Woodlands Mart dan Kinderland@Sunshine Place di Choa Chu Kang – yang dilaporkan lewat Ogos.
Cik Sun berkata Ecda telah mengumumkan langkah untuk menaikkan gaji guru prasekolah demi memastikan ia “berdaya saing di pasaran dan sepadan dengan keupayaan mereka yang semakin meningkat”.
Menurutnya, pemerintah telah bekerjasama dengan pengendali yang menerima pendanaan pemerintah untuk menguatkuasakan gaji lebih tinggi tahun ini dan akan meneruskan usaha itu pada 2024.
Ecda turut menawarkan sumber bagi pendidik mengemudi sendiri pembangunan profesional mereka dan mendalami kepakaran serta merancang kemajuan kerjaya mereka, kata Cik Sun.
Agensi itu juga sedang mengambil langkah mempertingkat persekitaran pekerjaan sektor tersebut, antaranya, dengan memastikan pusat penjagaan kanak-kanak tidak perlu beroperasi pada Sabtu.
Perubahan penting itu, diumumkan pada Julai, akan memastikan guru mencapai “keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan serta masa rehat mencukupi”.
Cik Sun berkata beliau sedar akan keprihatinan AP mengenai tugas “berat” guru prasekolah yang menjejas tahap tekanan mereka, yang boleh membawa kepada “kejadian tidak diingini”.
Pada masa yang sama, beliau menekankan pentingnya menaikkan semula semangat guru prasekolah yang jelas terjejas oleh kejadian-kejadian itu, ujarnya.
Bertanya apakah tenaga kerja di pusat prasekolah dipantau Ecda, Encik Melvin Yong (SMC Radin Mas) berkata tenaga kerja yang tidak mencukupi adalah “petanda nyata” tentang persekitaran kerja sektor itu.
Menjawab, Cik Sun berkata Ecda kini memantau tenaga kerja sektor itu dengan teliti dan berusaha menggalak lebih ramai “individu yang berniat baik dan berdedikasi” menyertai sektor prasekolah.
“Kami kini memantau dengan teliti tenaga kerja industri penjagaan kanak-kanak bagi memastikan pendidik awal kanak-kanak diberi ganjaran pekerjaan yang sesuai dengan “tangga kemahiran” yang tersedia serta dapat mencapai keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan.
“Ini merupakan usaha yang perlu diteruskan dan kami sedang memantau status sektor penjagaan kanak-kanak,” katanya, sambil menambah bahawa beberapa langkah lain juga sedang dilaksana, termasuk semakan Ecda terhadap amalan prasekolah berkaitan tempoh “tanpa hubungan” yang diberi kepada tenaga pendidik semasa waktu bekerja untuk berehat dan menyelesaikan tugasan di luar waktu mengajar.
Hasil semakan itu akan dikongsi dengan sektor tersebut tidak lama lagi.
Cik Sun turut menekankan pentingnya sokongan ibu bapa dan pengendali untuk memastikan persekitaran kerja lebih baik bagi sektor prasekolah, dan berkata “guru yang dijaga dengan baik, akan menjaga kanak-kanak dengan baik”.
Beliau menggesa pengendali pusat prasekolah supaya menerajui usaha menjaga kesejahteraan kakitangan mereka.
Bagi membantu pengendali menyokong pekerja, Ecda telah melancarkan panduan amalan baik untuk membantu usaha mewujudkan tempat kerja serta amalan sumber manusia terbaik bagi memastikan persekitaran kerja baik dan supaya kakitangan berasa disokong.
Pada masa yang sama, Cik Sun menekankan bahawa kejadian di pusat prasekolah Kinderland itu “tidak mencerminkan” sektor tersebut secara menyeluruh.
“Kebanyakan guru tadika telah meluahkan rasa terkejut dan kecewa mereka (mengenai kejadian tersebut).
“Mereka telah memperuntukkan masa dan tenaga mereka untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak kita, meletakkan kesejahteraan kanak-kanak itu sebagai keutamaan mereka,” katanya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata majoriti pendidik berkhidmat secara profesional untuk menjaga dan menyediakan ruang selamat bagi kanak-kanak belajar dan bermain.
“Saya dapat memahami mengapa ramai guru kecewa dengan kejadian ini, tetapi saya berbesar hati melihat sokongan orang ramai kepada pendidik kita sejak beberapa minggu lalu dan sambutan Hari Guru baru-baru ini.
“Pendidik prasekolah kita memainkan peranan yang sangat penting kerana mereka membolehkan kita berfikiran tenang untuk bekerja sedang kita yakin anak-anak kita dijaga dengan baik,” ujarnya.