Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Setempat

Sokongan bagi pastikan kos pengangkutan kekal dimampui

Jan 18, 2020 | 05:00 AM

SETIAP bulan pelajar Politeknik Singapura (SP), Encik Fazil Akram Dereinda perlu menokok lebih $20 ke kad EZ-Link pelajar miliknya bagi tambang bas.

Meskipun mendapat konsesi bulanan bagi perjalanan menaiki MRT kerana ia merupakan jenis pengangkutan awam utama baginya, beliau memerlukan tokokan tambahan itu bagi menampung tambang bas yang perlu beliau ambil dari masa ke masa. 

Namun itu dahulu. 

Kini, pelajar berusia 18 tahun itu, dapat berjimat. 

Beliau hanya perlu menokok $10 setiap bulan, penjimatan bulanan lebih 50 peratus. 

Ini kerana, sejak 28 Disember tahun lalu, tambang bas yang perlu dibayar pelajar politeknik seperti Encik Fazil merupakan tambang konsesi pelajar dan bukan lagi tambang bas bagi orang dewasa.

Konsesi pelajar yang turut diberikan kepada pelajar politeknik itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang diperkenalkan bagi memastikan tambang pengangkutan awam kekal dimampui termasuk bagi golongan pelajar.

Memberi contoh, Encik Fazil berkata jika menaiki bas bagi jarak jauh, tambang dewasa yang perlu dibayarnya ialah sekitar $2.

Tetapi dengan tambang konsesi pelajar, beliau hanya dikenakan sekitar 63 sen sahaja bagi jarak yang sama. 

“Dulu pelajar politeknik yang tidak membeli konsesi bulanan MRT atau bas, perlu membayar tambang yang sama seperti orang dewasa. Dengan langkah terbaru ini, pelajar politeknik seperti saya dapatlah berjimat,” ujar penuntut kursus Kejuruteraan dengan Perniagaan di SP itu.

Yuran konsesi pelajar itu, yang sebelum ini hanya diberikan kepada pelajar sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kini dapat dinikmati semua pelajar peringkat diploma dan politeknik.

Selain golongan pelajar, konsesi turut diberikan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk diskaun tambahan daripada 20 peratus ke 25 peratus bagi pekerja di bawah Skim Konsesi Pengangkutan Daya Kerja. Satu daripada setiap lima keluarga juga menerima Baucar Pengangkutan Awam.

Pengangkutan awam di sini terus kekal dimampui dengan setiap perjalanan menerima subsidi lebih $1, dan lebih 336,000 penumpang menikmati diskaun waktu sibuk pagi setiap hari sejak 2017.

Malah, sejak 2006 juga, peratusan pendapatan keluarga yang dibelanjakan bagi pengangkutan awam berkurangan daripada 2.7 peratus ke 1.7 peratus.

Dalam pada itu, penjimatan yang dinikmati keluarga Encik Fazil menerusi konsesi yang dilanjutkan kepada pelajar politeknik itu adalah seganda kerana kakaknya, Cik Marsya Fakhira Dereinda, 19 tahun, turut menuntut di SP dalam kursus Animasi Digital.
Cik Marsya, berkata kemudahan MRT yang terletak berhampiran rumah mereka di Sengkang juga menjadikan perjalanan kededua beradik itu untuk ke sekolah lebih mudah.

Menerusi laluan Timur Laut (NEL), mereka mengambil masa sekitar 40 hingga 50 minit sahaja untuk ke SP, yang terletak di Dover. Ini berbanding jika beliau menaiki bas yang boleh memakan masa sehingga satu setengah jam.

Kemudahan itu terus dinikmati Cik Marsya sedang beliau menjalani program Kerja Sambil Belajar bersama sebuah syarikat yang terletak di Kallang Avenue.

Perjalanan menerusi MRT dari rumah ke tempat kerja hanya sekitar 30 minit.

“Stesen LRT hanya dua minit berjalan dari rumah saya. Dari situ saya ke Stesen MRT Sengkang dan kemudian boleh ke mana-mana dengan mudah,” ujar beliau.

Lantaran itulah, beliau tidak sabar untuk Laluan Rentas Pulau (CRL) siap dibina.

CRL, yang dijadual siap sepenuhnya menjelang 2029, memberi pilihan alternatif bagi penumpang timur-barat dan akan dihubungkan kepada semua laluan utama, sekali gus berperanan sebagai laluan pertukaran utama.

Melalui kejiranan seperti Loyang, Pasir Ris, Hougang, Ang Mo Kio, Bukit Timah dan Clementi, selain mengurangkan masa perjalanan CRL juga menghubungkan penduduk ke tempat kerja di hab-hab utama negara itermasuk Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.

Sebagai penuntut animasi digital, Cik Marsya paling mengalu-alukan rancangan CRL menghubungkan penumpang dengan koridor dan kelompok kreatif di Punggol.

“Sebagai lulusan bidang kreatif, ini bermakna perjalanan saya untuk ke tempat kerja kelak akan dipermudah,” ujarnya.

Artikel Terkini