Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sokongan bagi syarikat manfaatkan teknologi HR, reka semula kerja

50 firma dijangka dibantu di bawah Program Transformasi Teknologi HR
hr
Nov 26, 2021 | 05:30 AM



SEKITAR 50 syarikat akan menerima sokongan dalam melaksana teknologi sumber manusia (HR) untuk memperkukuh proses kerja mereka dan mereka semula peranan kerja mereka menerusi satu program baru yang dilancarkan semalam.



Program Transformasi Teknologi HR (HRTTP) itu akan membantu syarikat menerapkan teknologi HR menerusi penyusunan semula proses kerja, rekaan semula kerja HR yang terjejas dan menguruskan peralihan kerja disebabkan penggunaan teknologi.



Lebih 250 karyawan HR akan meraih manfaat daripada inisiatif itu, yang diperkenalkan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).



Dalam pada itu, alat Rekaan Semula Pekerjaan HR - sebuah alat bantu diri interaktif untuk membimbing syarikat dalam usaha rekaan semula pekerjaan mereka - turut dilancarkan semalam.



Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, melancarkan HRTPP itu semalam, dalam satu acara maya yang disertai eksekutif dan pemimpin HR daripada pelbagai industri.



Dalam ucapannya, beliau berkata pandemik Covid-19 mengubah cara bekerja secara radikal, dengan syarikat dan pekerja telah menyesuaikan diri dengan pelbagai langkah pengurusan selamat dan bekerja dari rumah.



Dengan keperluan mengekalkan operasi perniagaan dari jauh, syarikat telah mempercepatkan penggunaan teknologi dan menggabungkan keupayaan digital dan automasi sebagai bahagian penting dalam model dan proses perniagaan mereka.



"Karyawan HR, sebagai pendaya utama transformasi perniagaan dan tempat kerja, telah mempercepatkan rentak mendigitalisasikan proses HR.



"Ini dipacu teknologi baru, seperti teknologi buatan, robotik dan Internet of Things (IoT)," kata beliau.



Di bawah HRTTP, syarikat akan diberi masa hingga satu tahun untuk menyelesaikan projek rekaan semula pekerjaan mereka dengan bimbingan konsultan yang dilantik.



Syarikat akan menerima pembiayaan di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG)-Sokongan bagi Rekaan Semula Pekerjaan bagi projek mereka.



Geran itu menyediakan sokongan dipertingkat sebanyak 80 peratus bagi kos konsultasi, dihadkan pada $30,000, hingga 31 Mac tahun depan.



Pelancaran HRTTP menyusuli usaha perintis yang diperkenal pada Mac tahun lalu, di mana 10 syarikat telah melaksana huraian teknologi HR seperti pembelajaran melalui telefon bimbit, digitalisasi pengumpulan data kakitangan, dan automasi proses robotik.



WSG dan SNEF berkata dalam satu kenyataan bersama huraian teknologi itu telah menghasilkan produktiviti lebih tinggi dan penjimatan masa serta kos.



Ia juga membolehkan hampir 70 karyawan HR - 25 peratus daripada mereka pekerja matang - melakukan peranan kerja bernilai lebih tinggi, seperti dalam analitik data dan mereka strategi pengalaman kakitangan.



Antaranya ialah syarikat makanan Fei Siong Food Management, yang menggunakan teknologi untuk mewujudkan dan menyediakan modul pembelajaran pendek dan dwibahasa di telefon bimbit bagi pekerja mereka mempertingkat kemahiran.



Tahun lalu, pemerintah melancarkan Peta Transformasi Pekerjaan (JTM) HR, yang mengenal pasti bagaimana teknologi mengubah model perniagaan dan pekerjaan.



Malah, Encik Zaqy berkata pemerintah menjangka hingga 90 peratus pekerjaan HR akan terjejas dalam tahun-tahun mendatang.



Oleh itu, beliau berkata teknologi HR boleh menjadi mangkin bagi karyawan HR memberikan nilai strategik kepada perniagaan.



"Di sinilah karyawan HR boleh mempertingkat saranan nilai mereka kepada syarikat dengan memperolehi kemahiran utama seperti kepintaran digital untuk menggunakan data dengan lebih baik bagi memahami keperluan perniagaan dan mempertingkat keputusan HR.



"Peranan kerja dan proses HR juga perlu direka semula untuk meraih manfaat penuh huraian teknologi HR," kata beliau.




"Di sinilah karyawan HR boleh mempertingkat saranan nilai mereka kepada syarikat dengan memperolehi kemahiran utama seperti kepintaran digital untuk menggunakan data dengan lebih baik bagi memahami keperluan perniagaan dan mempertingkat keputusan HR. Peranan kerja dan proses HR juga perlu direka semula untuk meraih manfaat penuh huraian teknologi HR."
- Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), menekankan karyawan HR boleh memberi nilai strategik kepada perniagaan dengan memanfaatkan teknologi HR.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >