Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANALISIS BERITA: SUSULAN BELANJAWAN: SOKONGAN BAGI SEKTOR SENI

Sokongan pemerintah bantu usaha transformasi kumpulan seni

Feb 19, 2021 | 05:30 AM



KUMPULAN seni Melayu di sini yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menyambut baik dana tambahan yang akan diperuntuk pemerintah untuk terus membantu mereka mengharungi masa sukar ini.



Selain bantuan tambahan dalam bentuk kewangan, mereka juga berharap langkah dapat diperkenal untuk menyokong usaha mereka melalui transformasi dan menyesuaikan diri dengan norma baru serta meningkatkan keupayaan.



Pengarah Urusan Sri Warisan, Encik Adel Dzulkarnaen Ahmad, berkata Geran Operasi yang diterima syarikat seni itu di bawah Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya (ACRP) tahun lalu telah banyak membantu mereka bertahan hingga sekarang serta menyokong pekerja yang terjejas.



Ini lebih-lebih lagi dengan tiada pendapatan yang diraih selama sekitar tujuh bulan tahun lalu.



Namun dengan Covid-19 terus menjejas operasi mereka, Encik Adel berkata usaha pemerintah melanjutkan ACRP diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka selain terus menyokong usaha transformasi mereka pada masa akan datang.



"Kami berharap boleh mendapat sokongan untuk mempersiap diri bagi transformasi digital seperti mengarkibkan persembahan seni yang lalu serta menterjemah persembahan lalu daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dan memuat naiknya ke dalam talian untuk menjana pendapatan dan mendekati lebih ramai orang," ujarnya.



Semasa membentangkan Belanjawan tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa pemerintah akan melanjutkan ACRP dan Pakej Daya Tahan Sukan untuk membantu perusahaan dan individu yang bekerja sendiri dalam sektor tersebut.



Sebanyak $45 juta akan diperuntuk untuk melanjutkan dan mempertingkat pakej sokongan itu.



Encik Heng berkata pakej itu akan dipertingkat antara lain untuk menyokong pembangunan keupayaan dan transformasi sektor bagi menggalak masyarakat memperdalam kemahiran mereka, mendakap pendigitalan serta mengubah model perniagaan.



Butiran lanjut akan diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) tidak lama lagi.



Langkah yang diumumkan itu terus memberi harapan kepada penggiat seni tanah air termasuk Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Orkestra Sri Temasek, Encik Afi Hanafi.



"Pengumuman ini pastinya memberi harapan dan peluang kepada para penggiat... untuk kekal bertahan dalam usaha mereka malah juga untuk memantapkan lagi prestasi," ujar beliau.



Bagi kumpulan seni seperti seperti Orkestra Sri Temasek dan Sri Warisan yang memerlukan ruang besar untuk berlatih dan membuat persembahan, mereka juga berharap dapat sokongan dalam bidang itu.



Menurut Encik Afi, kumpulan seni yang ditubuhkannya seperti Orkestra Sri Temasek dan koir Melayu Permaisuara misalnya memerlukan ruang latihan yang besar bagi menampung sejumlah besar ahli, iaitu 15 hingga 30 orang pada satu masa.



"Maka, kegiatan latihan terhenti memandangkan dewan tempat kami berlatih tidak boleh kami gunakan kerana situasi Covid-19," ujarnya.



Bagi Sri Warisan pula, Encik Adel berkata mereka kini menggunakan kemudahan di Our Tampines Hub untuk membuat atau merakam persembahan dengan sewa yang dikurangkan.



Dengan langkah jarak selamat yang diambil, mereka juga terhad dari segi ruang dan studio mereka di Wisma Geylang Serai kini hanya dapat menampung 30 orang berbanding 60 orang biasanya.



"Dan kalau kita nak sewa tempat lain, kami perlu keluarkan kos lebih dan ini akan menambah perbelanjaan kami.



"Jadi kami berharap kalau kami boleh dapatkan bantuan subsidi bagi sewa misalnya," katanya.



Pengasas Panggung Digital, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi, turut menghargai suntikan dana tambahan kepada ACRP.



Namun, beliau tidak pasti berapa lama lagi sektor seni setempat boleh terus bergantung padanya.



Satu pendekatan yang boleh diambil sekarang adalah mengadakan acara atau persembahan bersifat hibrid, iaitu menggunakan kedua-dua wadah fizikal dan digital.



"Namun, saya rasa lebih banyak usaha boleh dijalankan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa langkah pengurusan selamat yang kita laksanakan sekarang berkesan dan berhasil, dan mereka boleh berkunjung ke teater dan galeri seni dengan selamat.



"Infrastruktur dan tenaga manusia yang diperlukan untuk menjalankan usaha ini bagaimanapun menimbulkan faktor kewangan bagi syarikat seni yang perlu menghasilkan karya seni sambil memastikan penonton dan pengunjung yakin terdapat langkah sedemikian yang diambil demi keselamatan mereka," ujarnya.



Memandang ke hadapan, Encik Afi juga berharap pekerja bebas dalam sektor seni akan mendapat lebih banyak pendedahan dan pengiktirafan agar ia juga dipandang sebagai kerjaya yang diperlukan masyarakat selain menyumbang kepada kejayaan negara.



Tahun lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menubuhkan dua persatuan untuk mewakili pekerja bebas dan individu yang bekerja sendiri (FSE), khususnya bagi karyawan kandungan kreatif dan pekerja penghantaran.



Dalam satu wawancara dengan media semalam, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng berkata gerakan buruh bersedia melobi pemerintah untuk meminda undang-undang agar NTUC dapat mewakili golongan pekerja bebas, termasuk dalam sektor seni.



Tambahnya, ramai pekerja bebas menjadi mudah terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 dan NTUC ingin meninjau bagaimana untuk membantu golongan pekerja ini.




"Saya rasa sektor ini menghargai suntikan dana tambahan bagi ACRP tetapi saya tidak pasti berapa lama lagi sektor ini boleh bergantung pada bantuan sedemikian. Saya rasa lebih banyak usaha boleh dijalankan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa langkah pengurusan selamat yang kita laksanakan sekarang berkesan dan berhasil, dan mereka boleh berkunjung ke teater dan galeri seni dengan selamat."
- Pengasas Panggung Digital, Encik Saiful Amri Ahmad Elahi




"Pengumuman ini pastinya memberi harapan dan peluang kepada para penggiat... untuk kekal bertahan dalam usaha mereka malah juga untuk memantapkan lagi prestasi.

Pastinya, bantuan kewangan untuk beroperasi dan ruang untuk berkegiatan (sesuai keadaan dan keperluan) terus menjadi keperluan utama kumpulan seni budaya."

- Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Orkestra Sri Temasek, Encik Afi Hanafi




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >