KEINGINANNYA untuk meningkatkan tahap tarian Melayu dan untuk membangunkan pendekatan tersendiri Singapura terhadap tarian Melayu, Cik Som Said mula menghasilkan reka tarinya sendiri.
Beliau menggabungkan rutin tarian Melayu yang tradisional dengan gerak tarik yang lebih kontemporari serta pan-Asia.
Pada 1997, beliau menubuhkan Sri Warisan Som Said Performing Arts, kumpulan tarian Melayu profesional pertama di negara ini.
Cik Som bukan sahaja perintis bagi tarian Melayu yang menggunakan pendekatan Singapura tetapi juga perkhidmatan perkahwinan apabila beliau menubuhkan butik perkahwinan Melayu pertama Singapura, Ratu Sari Bridal House & Photo Studio, sebelum ini.
Beliau merupakan antara wanita yang dipaparkan dalam pameran baru yang dilancarkan di Muzium Negara Singapura semalam.
Pameran itu merupakan yang terakhir daripada satu siri tiga bahagian bernama Kehidupan Wanita (The Lives of Women) oleh Dewan Termasyhur Wanita Singapura, atau Singapore Women's Hall of Fame (SWHF), yang merupakan sebuah daya usaha oleh Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO).
Antara wanita lain yang turut dipaparkan termasuk anggota pengasas Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) yang juga mantan presiden badan itu, Dr Kanwaljit Soin; pelukis ilustrasi perintis, Cik Kwan Shan Mei; serta pemenang pingat emas maraton wanita pertama Singapura, Cik Kandasamy Jayamani.
Pameran terkini itu, yang akan berlangsung hingga Mac, memaparkan bagaimana kehidupan bagi wanita di Singapura pada 2050 dalam bidang pendidikan, pekerjaan, penduduk, kepimpinan dan kehidupan awam, menurut presiden SCWO, Cik Junie Foo.
Tambahnya, pameran itu menyentuh tentang pelbagai isu termasuk beban menjaga anggota keluarga yang ramai wanita pikul serta cabaran yang mereka hadapi di tempat kerja.
Isu ini turut ditimbulkan semasa Perbincangan tentang Pembangunan Wanita Singapura yang berlangsung sepanjang tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk menyemak isu berhubung kaum Hawa.
Majlis pelancaran pameran semalam turut dihadiri beberapa wanita yang dipaparkan itu serta Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, selaku tetamu terhormat.
Berucap di majlis tersebut, Cik Sim berkata pemerintah telah melaksana pelbagai langkah seperti menyemak rangka kerja hukuman bagi kesalahan seksual dan kesalahan yang melibatkan kecederaan serta menyemak peraturan penyenaraian Bursa Singapura (SGX) untuk memerlukan syarikat mendedahkan dasar kepelbagaian syarikat mereka, termasuk berkaitan jantina.
Malah tambahnya, pemerintah juga mempunyai rancangan untuk mempertingkat Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (Tafep), yang akan membantu mewujudkan peluang sama rata bagi wanita di tempat kerja.
Satu Kertas Putih dengan usulan untuk menangani isu berhubung wanita juga akan dibentangkan di Parlimen dalam beberapa bulan akan datang, kata Cik Sim.
Ini termasuk maklum balas daripada hampir 6,000 peserta yang menyertai 160 sesi perbincangan sebagai sebahagian daripada Perbincangan berhubung Pembangunan Wanita Singapura.
"Saya menggesa semua wanita untuk tampil bantu membentuk dan merealisasikan kemungkinan (bagi mereka) dan menjadikan ramai wanita berjaya daripada SWHF yang hadir hari ini sebagai sumber inspirasi mereka.
"Kita semua mempunyai potensi untuk menjadi perintis dan pelopor," ujar Cik Sim.
Bagi Cik Som, beliau berharap usahanya selama ini gigih memajukan tarian Melayu di Singapura dapat mendorong wanita lain untuk mengejar impian mereka.
"Tarian bukan sekadar hiburan sahaja tetapi juga satu tanggungjawab.
"Dengan azam dan sifat daya tahan, mereka yang meminati tarian juga boleh menceburinya dan mengasah kemahiran mereka untuk terus memperbaiki diri, malah menjadikannya sebuah kerjaya," ujar Cik Som.