SPH Media Trust (SMT) akan membangun khidmat menyemak fakta bagi memaparkan kepalsuan berita palsu dan akan melancarkan program kesedaran media dan celik kewangan bagi orang awam.
Ini adalah sebahagian misi SMT agar menjadi sumber berita yang boleh dipercayai dan menangani pandemik berita palsu, kata Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil, Encik Warren Fernandez, pada Khamis (27 Januari).
"Kita semua tertakluk untuk mempunyai pandangan sendiri mengenai apa yang terjadi dalam dunia tetapi saya tidak fikir kita tertakluk pada fakta kita sendiri," jelasnya di taklimat media mengenai rancangan masa depan SMT.
"Jika kita tidak dapat bersetuju dengan apa yang hitam dan apa yang putih, bagaimana kita dapat berdebat dalam aspek yang 'kelabu' (kabur), pemilihan dasar yang kita buat, pilihan besar yang kita harus lakukan dalam masyarakat? Tanpa perdebatan bermakna, kita tidak boleh mempunyai persetujuan untuk bergerak ke depan," katanya.
Encik Fernandez berkata inisiatif baru ini akan memperkasa pembaca untuk mengenal pasti berita palsu, penipuan dan maklumat yang silap serta membuat pilihan kewangan yang bijak.
Sewaktu taklimat itu, pengerusi SMT, Encik Khaw Boon Wan berkata kepercayaan dan dan kebolehpercayaan adalah isu penting dalam era digital hari ini.
"Keupayaan penerbit menjadi sumber yang dipercayai adalah kelebihan berdaya saing dan di situlah saya fikir kita harus mengeluarkan tenaga dan pelaburan," katanya.
Sedang terdapat banyak maklumat di Internet, tidak semua yang boleh dijadikan pergantungan, jelas Encik Khaw, sambil menambah banyak pula yang merupakan berita 'sampah', memberi gambaran yang salah atau merapik.
"Soalannya kini, siapa yang boleh kita percayai? Berita mana yang benar - bermaksud diperjelaskan dengan fakta dan disahkan? Yang mana boleh dipercayai? Dan yang mana penting?" katanya.