PENDAPATAN sewa lebih tinggi membantu SPH Reit mengekalkan kadar agihan suku keduanya dalam landskap runcit mencabar, kata pengurusnya pada Isnin (4 Apr).
Pemilik pusat beli-belah itu melaporkan pendapatan boleh agih $36.4 juta bagi tempoh tiga bulan hingga 29 Feb, peningkatan 0.2 peratus daripada $36.3 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Ini menghasilkan pengagihan seunit (DPU, ukuran berapa banyak pelabur dapat bagi setiap saham yang dimiliki dalam sesebuah Reit), sebanyak 1.4 sen, iaitu tidak berubah daripada sebelumnya, yang akan dibayar pada 13 Mei.
Pendapatan kasar meningkat 1.2 peratus kepada $53.1 juta hasil pendapatan sewa lebih tinggi daripada kedua-dua hartanah di bawah pengurusannya, Paragon dan The Clementi Mall.
Perbelanjaan operasi hartanah naik 2.3 peratus kepada $12.5 juga, disebabkan peruntukan tambahan bagi cukai harta tahun sebelumnya.
Pendapatan bersih hartanah meningkat 0.9 peratus kepada $40.6 juta.
Pendapatan kasar bagi setengah tahun meningkat 2 peratus kepada $105.2 juta, manakala pendapatan hartanah bersih berkembang 3.3 peratus kepada $80.7 juta.
SPH Reit Management berkata kedua-dua pusat beli-belah, Paragon dan The Clementi Mall, "terus menunjukkan daya tahan dan mencapai kadar sewa positif".