SINGAPURA akan menandatangani perjanjian dagangan bebas (FTA) dengan Pakatan Pasifik (PA), sebuah blok dagangan dianggotai empat negara Amerika Latin iaitu Chile, Columbia, Mexico dan Peru, akhir tahun ini.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perindustrian), Encik Alvin Tan, berkata perjanjian itu akan membolehkan para peniaga kededua pihak mendapat akses peluang pasaran dan memupuk kerjasama dalam bidang-bidang seperti perdagangan elektronik, kastam, penyelarasan dagangan dan khidmat kelautan.
"Para ketua perunding kami sedang menyediakan perjanjian itu untuk ditandatangani menjelang akhir tahun ini,'' kata Encik Tan, dalam sebuah webinar yang dihoskan oleh Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.
Rundingan bagi FTA Pakatan Pasifik-Singapura selesai Disember tahun lalu selepas tiga tahun.
Pada 2019, jumlah dagangan barangan antara Singapura dengan PA mencapai $6.1 bilion, yang merangkumi 33.2 peratus dari keseluruhan dagangan barangan dengan negara-negara Amerika Latin. Dagangan bagi perkhidmatan pula mencapai $2.6 bilion pada 2018.
"FTA ini akan memberikan mesej yang kuat kepada masyarakat sejagat bahawa negara-negara kami amat terbuka untuk perniagaan dan di sebalik tekanan terhadap ekonomi berbilang tingkat, kami ingin mendekati satu sama lain dan mewujudkan peluang bagi rakyat,'' tambah Encik Tan.