Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KOS SARA HIDUP DAN INFLASI SERTA KEPIMPINAN NEGARA

S'pura akan terus pantau krisis Ukraine dan kesan ke atas ekonomi negara: Gan

Sedia perkenal langkah tambahan sokong warga dan perniagaan jika perlu; Anggota Parlimen prihatin kos sara hidup, inflasi naik
Mar 01, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA akan terus memantau krisis di Ukraine serta kesannya ke atas ekonomi Singapura, dan jika perlu, akan memperkenalkan langkah tambahan untuk menyokong warga Singapura dan perniagaan, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.



Dengan pelbagai negara kini mengenakan sekatan ke atas Russia dan adanya gangguan terhadap bekalan, harga tenaga global dan produk lain dijangka meningkat dalam minggu-minggu akan datang, katanya.



"Pengguna jalan raya perlu menjangkakan harga pam minyak petrol dan diesel akan meningkat.



"Kadar elektrik bagi kededua perniagaan dan isi rumah akan meningkat sejajar dengan kos tenaga global yang meningkat.



"Ini sudah tentunya akan menjejas warga Singapura, dan meningkatkan lagi kos sara hidup," ujar Encik Gan pada hari pertama perbahasan Belanjawan di Parlimen semalam, yang melihat lebih 20 AP bangkit menyertainya.



Beberapa AP termasuk Cik Foo Mee Har (GRC West Coast), Cik Jessica Tan (GRC East Coast) dan Encik Louis Chua (GRC Sengkang) menimbulkan keprihatinan tentang kesan kos sara hidup dan inflasi yang meningkat kepada warga Singapura dan perniagaan, lebih-lebih lagi sedang krisis Russia dan Ukraine kini menyebabkan kos minyak mentah melambung tinggi.



Encik Gan berkata Singapura sedang memantau rapat situasi di Ukraine, dan penilaian awal menunjukkan kesan secara langsung kepada ekonomi dan firma boleh diatasi setakat ini.



Ini sedang syarikat Singapura tidak mempunyai banyak urusan di Ukraine, dan Singapura juga tidak mengimport banyak bekalan penting dari negara itu dan di rantau tersebut.



Tetapi situasi boleh berubah dengan pantas, kata Encik Gan.



Semasa menyertai perbahasan semalam, Cik Foo berkata ramalan tentang kos meningkat adalah 'membimbangkan', sedang kadar inflasi mencapai 2.4 peratus pada Januari lalu, yang tertinggi dalam hampir sedekad.



Dengan adanya krisis Russia-Ukraine dan harga minyak mentah melambung, beliau bertanya jika pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu warga Singapura jika inflasi terus meningkat dan melebihi jangkaan.



Encik Gan berkata langkah sokongan seperti Geran Pemulihan Perniagaan Kecil dan Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang diumumkan dalam Belanjawan sebelum ini akan membantu perniagaan dan isi rumah.



"Kami akan terus memantau situasi dengan rapat, dan jika perlu, memperkenalkan langkah tambahan untuk membantu mereka mengatasi cabaran itu," ujarnya.



Pemerintah sebelum ini mengumumkan beberapa langkah untuk membantu warga Singapura dan perniagaan mengharungi kos yang meningkat.



Antaranya, pemerintah akan membelanjakan $560 juta di bawah Pakej Bantuan Keluarga Tambahan (HSP) bagi menyediakan bantuan segera bagi membantu isi rumah warga Singapura dengan perbelanjaan harian.



Di bawah pakej itu, pemerintah akan memberi rebat Baucar GST (GSTV) - U-Save yang dipertingkat, Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $100 tahun ini, serta tokokan $200 dalam Akaun Pembangunan Anak, Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA), antara lain.



Pakej Bantuan Pekerjaan dan Perniagaan bernilai $500 juta juga disediakan bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) yang masih terjejas dengan Covid-19.



Antaranya, SME dalam sektor yang terjejas teruk dek pandemik Covid-19 boleh menerima sokongan hingga $10,000 di bawah Geran Pemulihan Perniagaan Kecil.



Anggota pembangkang, Encik Louis Chua (GRC Sengkang) menarik perhatian tentang risiko kepada pemulihan ekonomi, lebih-lebih lagi memandangkan ketegangan geopolitik dan keprihatinan risiko inflasi meningkat.



"Meskipun inflasi dijangka merosot pada hujung tahun ini, ia tidak bermakna harga akan merosot. Ia hanya bermakna harga akan meningkat tetapi tidak melambung dan masih menjejas pendapatan sebenar warga Singapura," ujarnya.



Encik Gan berkata krisis Ukraine menjejas ramalan ekonomi Singapura.



"Kesan sebenarnya ke atas pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan inflasi Singapura buat masa ini sukar dianggarkan memandangkan ketidaktentuannya.



"Banyak yang bergantung pada bagaimana konflik itu berubah, respons global kepada situasi, dan kesan jangka panjang kepada ekonomi global.



"Apa yang jelas ialah tekanan inflasi dijangka naik lagi dalam jangka masa pendek, khususnya menerusi kenaikan dalam harga barangan berkaitan minyak pada awalnya," ujar Encik Gan.



Beliau menekankan pemerintah tidak akan teragak-agak untuk memberi lebih bantuan yang diperlukan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >