Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA DENGAN VIVIAN BALAKRISHNAN MENGENAI KUNJUNGAN KAMALA HARRIS KE SINGAPURA

S'pura-Amerika perkukuh hubungan diplomatik 55 tahun

Empat bidang tumpuan termasuk tangani pandemik, perluas kerjasama ekonomi digital; teroka peluang kerjasama dalam ekonomi menghijau dan perkukuh hubungan keselamatan khususnya siber
Aug 17, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA dan Amerika Syarikat menyambut ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-55 tahun ini, namun hakikatnya hubungan akrab kededua negara meliputi, antara lain, bidang ekonomi, ketenteraan dan silang budaya telah terjalin lama sebelum itu.



Dalam lawatan Naib Presiden Kamala Harris ke Singapura nanti, kededua negara akan memperkukuh lagi hubungan tersebut meliputi empat bidang iaitu menangani pandemik terutama dalam membantu negara-negara jiran yang bergelut dengan impak varian Delta Covid-19; memperluas kerjasama dalam ekonomi digital; meneroka peluang kerjasama dalam ekonomi menghijau dan terakhir ialah memperkukuh hubungan dalam bidang keselamatan khususnya keselamatan siber.



Membentangkan empat bidang tumpuan itu semasa bertemu media setempat semalam menjelang lawatan Cik Harris itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata beliau menjangkakan perbincangan mengenai respons kepada Covid-19 akan menjadi topik utama rundingan kededua negara kelak.



"Lebih-lebih lagi dalam bagaimana kami boleh bekerjasama untuk membantu negara-negara lain," ujarnya.



Mengenai ekonomi digital, Dr Balakrishnan berkata Singapura telah pun mempunyai hubungan kerjasama dengan negara-negara seperti Australia dan New Zealand, dan Republik ini berminat meneroka kemungkinan Amerika menyertai dan menjadi sebahagian daripada 'seni bina' ekonomi digital ini.



Dalam bidang ekonomi menghijau pula, menukil laporan Panel Silang Pemerintah bagi Perubahan Iklim (IPCC) yang dikeluarkan baru-baru ini, Dr Balakrishnan berkata, laporan itu mencerminkan bagaimana perubahan iklim adalah isu yang semakin mendesak.



Menurutnya, beliau yakin pentadbiran Presiden Joe Biden turut berkongsi keprihatinan Singapura mengenai isu perubahan iklim dan negara ini berharap dapat meneroka sebuah perjanjian peringkat global yang dapat mempercepat usaha membangunkan ekonomi lebih menghijau dan lebih mampan.



Bidang keempat pula meliputi isu-isu topikal dan keselamatan termasuk isu keselamatan siber dengan Dr Balakrishnan menegaskan "sedang kita beralih kepada ekonomi digital, kita juga lebih terdedah kepada risiko".



Cik Harris melawat Singapura atas undangan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Selain Singapura, beliau juga akan melawat Vietnam.



Meskipun, jadual lawatan beliau belum diumumkan, namun laporan media Amerika mengatakan Naib Presiden itu akan melakukan lawatannya ke sini dari 22 hingga 24 Ogos ini.



Dalam pada itu, mengulas sama ada perbincangan mengenai kemungkinan Amerika menyertai Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) akan diadakan, Dr Balakrishnan berkata prospek bagi negara itu menyertai semula perjanjian tersebut dalam jangka masa terdekat adalah tidak mungkin.



Menurut Dr Balakrishnan, Amerika perlu menangani persoalan politik domestiknya terlebih dahulu sebelum ia boleh mengambil langkah lebih konkrit ke atas dasar-dasar luar negara termasuk perjanjian seperti CPTPP.



Di bawah pentadbiran mantan Presiden Donald Trump, Amerika menarik diri daripada perjanjian ikonik itu sebagai mencerminkan keresahan rakyatnya mengenai kebolehan mereka bersaing dalam dunia global, dan pendekatan Presiden Trump untuk "melihat ke dalam" sebagai menangani keresahan tersebut.



"Kita harus menunggu proses ini selesai dilaksana di Amerika," ujar Dr Balakrishnan.



Dr Balakrishnan juga menyentuh mengenai minat yang dilahirkan China untuk menyertai CPTPP yang beliau sifatkan sebagai mencerminkan keyakinan China bahawa globalisasi dan penyepaduan ekonomi, melabur dan berdagang dengan Asia Tenggara dan lain-lain negara Pasifik adalah penting.



"Bagi Singapura, sebuah negara kecil di tengah-tengah Asia Tenggara, terletak di Lingkungan Pasifik dan perdagangan bagi kita merangkumi tiga kali ganda GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar), kita mengalu-alukan penglibatan lebih banyak negara," ujar beliau, sambil menambah jika kededua China dan Amerika menyertai CPTPP - meskipun ia tidak berkemungkinan berlaku dalam jangka masa terdekat - ia adalah sesuatu yang amat menguntungkan.



Sehubungan dengan itu, Dr Balakrishnan menekankan Singapura tidak menetapkan agenda antara Washington dengan Beijing, namun beliau yakin Singapura adalah rakan baik dan dipercayai kededua adikuasa dunia itu.



"... saya tidak mengatakan sesuatu kepada Washington, dan sesuatu yang lain kepada Beijing, saya selalu mengatakan perkara yang sama kepada kededua pihak.



"Namun, untuk boleh meluahkannya secara membina dan membantu, dan kekal telus serta adil, kita perlu menggunakan seni diplomasi," tambahnya.



Mengenai isu Laut China Selatan pula, Dr Balakrishnan menekankan, sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada perdagangan, apa juga ketegangan dan ketidakstabilan di perairan itu menimbulkan keprihatinan bagi Singapura.



Singapura, katanya, yakin bahawa terdapat cara yang baik untuk menyelesaikan pertikaian tersebut iaitu dengan berpandukan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).



Lantaran itu, negara ini terus memainkan peranan penting dalam rundingan bagi mencapai penyelesaian Tatalaku (CoC).



"Ini adalah pendirian Singapura, dan saya telah melahirkannya kepada rakan sejawatan saya di kededua Amerika dan China, dan saya pasti Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan mengadakan rundingan lanjut dengan Timbalan Presiden Harris," ujar beliau.




  • HUBUNGAN SINGAPURA DENGAN AMERIKA

"Lebih-lebih lagi dalam bagaimana kami (Singapura dan Amerika) boleh bekerjasama untuk membantu negara-negara lain (dalam menangani Covid-19)."



  • HUBUNGAN DENGAN CHINA

"Bagi Singapura, sebuah negara kecil di tengah-tengah Asia Tenggara, terletak di Lingkungan Pasifik dan perdagangan bagi kita merangkumi tiga kali ganda GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar), kita mengalu-alukan penglibatan lebih banyak negara.



... saya tidak mengatakan sesuatu kepada Washington, dan sesuatu yang lain kepada Beijing, saya selalu mengatakan perkara yang sama kepada kededua pihak.



Namun, untuk boleh meluahkannya secara membina dan membantu, dan kekal telus serta adil, kita perlu menggunakan seni diplomasi."



- Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >