SINGAPURA dan Arab Saudi mengesahkan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama dan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara itu.
Ini dinyatakan dalam satu pertemuan antara Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, dengan Menteri Perkhidmatan Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh bin Nasser Al Jasser, yang mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri Jawatankuasa Bersama Arab Saudi-Singapura (SSJC) kedua di sini kelmarin.
SSJC telah dirasmikan tahun lalu dan turut dipengerusikan bersama oleh dua menteri itu di Riyadh, Arab Saudi, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan semalam.
Semasa mesyuarat itu, Dr Tan dan Encik Al Jasser mengiktiraf kegiatan perniagaan yang meningkat antara Singapura dengan Arab Saudi, dan juga kejayaan memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kerjasama dalam Masa Depan Mobiliti dan Inovasi, dan Memorandum Kerjasama mengenai Ekonomi Digital, Teknologi Baru dan Pemerintah Digital.
Menulis di Facebook, Dr Tan berkata beliau dan Encik Al Jasser mengadakan mesyuarat yang produktif, di mana mereka mengesahkan komitmen untuk mengenal pasti bidang kerjasama praktikal antara dua negara itu untuk mengeratkan hubungan ekonomi.
"Sejak SSJC yang pertama, terdapat banyak kegiatan antara kedua-dua negara, termasuk memuktamadkan beberapa MOU dalam ekonomi digital dan ruang mobiliti masa depan.
"Kerjasama kami dengan Arab Saudi telah berkembang dalam bidang seperti pengangkutan dan logistik, tenaga, penyelidikan dan pengembangan (R&D) serta kapasiti dan pembangunan manusia," kata beliau.
Pada Mac lalu, Saudi Global Port (SGP) - sebuah usaha sama antara PSA International dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi - memulakan pengendalian Ekosistem Pelabuhan Kering Riyadh.
Eutech Singapura juga bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Rantau Al Madina untuk mereka bentuk dan membangunkan Raseel, iaitu platform bandar bijak pertama di Arab Saudi.
"Kedua-dua menteri itu juga mengesahkan inisiatif seperti Program Pembangunan Perindustrian dan Logistik Nasional (NIDLP) Arab Saudi yang menggunakan Indeks Persediaan Industri Bijak (SIRI) yang dibangunkan Singapura," kata MTI.
Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Singapura di Timur Tengah tahun lalu, dengan perdagangan dua hala berjumlah $9.56 bilion.
Kementerian itu menambah bahawa Dr Tan dan Encik Al Jasser turut merasmikan Meja Bundar Perniagaan Arab Saudi-Singapura - anjuran bersama Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan Persekutuan Dewan Perniagaan Saudi - yang dihadiri syarikat kedua-dua negara daripada sektor seperti minyak dan gas, prasarana bandar dan digital.