Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura, Australia pergiat kerjasama ekonomi

PM Lee dan PM Anthony Albanese saksi kededua negara meterai Perjanjian Ekonomi Hijau S'pura-Australia
Oct 19, 2022 | 05:30 AM



CANBERRA: Singapura dan Australia akan mempergiatkan kerjasama dalam ekonomi hijau, menyasarkan bidang baru seperti pertanian mampan dan koridor perkapalan hijau, dengan pemeteraian satu perjanjian semalam.



Di bawah Perjanjian Ekonomi Hijau Singapura-Australia, kedua-dua negara itu akan memulakan 17 inisiatif bersama sebagai permulaan.



Ini termasuk membangunkan senarai barangan dan perkhidmatan persekitaran dengan tujuan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif.



Inisiatif lain termasuk kerjasama untuk menggalakkan penglibatan perniagaan dalam perdagangan dan pelaburan dalam sektor hijau, dan kerjasama penyelidikan dalam bidang seperti protein alternatif dan pengitaran semula bateri litium.



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia, Encik Don Farrell, menandatangani perjanjian itu di Dewan Parlimen selepas satu mesyuarat delegasi semalam.



Pemeteraian itu, disaksikan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dan rakan sejawatannya dari Australia, Encik Anthony Albanese, adalah hasil utama Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Australia ke-7 yang diadakan di Canberra.



Mesyuarat itu mengakhiri lawatan tiga hari oleh delegasi Singapura ke Australia yang bermula Ahad lalu.



Bercakap di sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Encik Lee berkata perjanjian itu akan menyokong peralihan kedua-dua negara kepada pelepasan sifar bersih, dan meningkatkan pertumbuhan serta mewujudkan pekerjaan dalam sektor hijau.



"Ia adalah perjanjian pertama seumpamanya antara negara, dan kami berharap ia akan menjadi penunjuk laluan bagi negara lain untuk bekerjasama dengan satu sama lain bagi menangani masalah global ini," katanya.



Rundingan untuk perjanjian itu bermula September tahun lalu, selepas ia pertama kali dikemukakan semasa mesyuarat pemimpin pada Jun tahun sama.



Ia menetapkan tujuh bidang kerjasama: perdagangan dan pelaburan; piawaian dan pematuhan; kewangan peralihan dan hijau; pasaran karbon; tenaga bersih, penyahkarbonan dan teknologi; kemahiran dan keupayaan; serta kerjasama dan pendampingan perniagaan.



Australia dan Singapura telah membangunkan senarai 372 barangan persekitaran dan 155 perkhidmatan persekitaran, yang tidak menyeluruh dan akan disemak secara berkala, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).



Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi kerjasama persekitaran penerbangan dan perdagangan elektrik, serta menubuhkan forum untuk pakar pemerintah membincangkan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan hijau.



Inisiatif lain termasuk membangunkan kerjasama untuk melanjutkan koridor perkapalan hijau, yang merupakan laluan laut sifar pelepasan antara pelabuhan.



Terdapat juga rancangan untuk bekerjasama dalam amalan terbaik untuk sistem pertanian makanan yang mampan, dengan tujuan mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar dan menangani keselamatan makanan.



Dengan perjanjian itu menjadi bidang kerjasama baru yang penting, tonggak ekonomi hijau keenam baru akan ditambah kepada rangka kerja Kerjasama Strategik Menyeluruh, sebuah perjanjian luas untuk memperdalam pendampingan yang ditubuhkan pada 2015.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >