Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S'pura boleh hilang daya saing, pelaburan asing jika tutup kepada bakat asing

Sep 16, 2021 | 05:30 AM



KHUATIR akan kesan buruk ke atas ekonomi dan nilai kemasyarakatan negara ini, pemerintah dengan penuh prihatin membahaskan tentang sifat tertutup dan bantahan terhadap kemasukan bakat asing yang ditunjukkan oleh sebahagian rakyat Singapura.



Selama lebih 10 jam perbahasan Parlimen berlangsung hingga sekitar 12.30 tengah malam, dengan beberapa Anggota Parlimen mendedahkan betapa bahayanya jika hal itu tidak ditangani dengan betul.



Singapura boleh kehilangan daya saing dan pelaburan asing, sementara pekerjaan yang dihasilkan akan pergi meninggalkan kita.



Itulah suatu keadaan yang tidak mustahil akan berlaku dan Singapura tidak mampu bersifat tertutup dan menentang keberadaan pekerja warga asing di negara ini.



Demikian inti pati perbahasan di Parlimen kelmarin yang berakhir hingga lewat tengah malam.



Menteri Kewangan Lawrence Wong akur bahawa ekonomi yang terbuka mempunyai kelemahannya meskipun kebanyakan orang akan meraih manfaat daripadanya.



"Namun, pemerintah mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir dan membuat keputusan dasar demi kepentingan semua warga Singapura.



"Ada keputusan yang tidak popular walaupun kami yakin ia diperlukan dan harus diambil demi kebaikan semua orang," ujarnya.



Tambahnya, pemerintah akan terus berusaha mempertingkat dasar tenaga kerjanya.



Bagaimanapun, pemerintah menolak dasar bercelaru seperti yang diusulkan Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang akan melemahkan Singapura.



Encik Wong berkata demikian sebagai respons kepada ucapan penutup Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada PSP, Encik Leong Mun Wai.



Parlimen membahaskan dua usul iaitu Usul Menjamin Pekerjaan dan Sara Hidup Warga yang diajukan Encik Wong serta Usul Dasar Bakat Asing yang diajukan Encik Leong.



Dalam perbahasan yang disertai sekitar 20 Anggota Parlimen (AP) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) itu, empat pemegang jawatan politik tampil menyangkal dakwaan PSP bahawa dasar bakat asing pemerintah telah menyebabkan rakyat kehilangan peluang pekerjaan.



Encik Wong berkata usul Encik Leong itu mencetuskan tanggapan salah bahawa cabaran yang dihadapi Singapura berpunca daripada perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan warga asing.



Kerana itulah pemerintah harus menjelaskan dan mengulangi pendiriannya dalam hal yang penting ini.



"Adalah penting warga Singapura dan dunia memahami kedudukan kita," ujarnya.



Encik Wong turut membidas gambaran yang berbaur perkauman dan xenofobia dalam retorik PSP berhubung bakat asing.



Namun parti pembangkang itu telah menafikannya.



Menurut Encik Wong, politik yang tidak bertanggungjawab seperti itu akan memecahbelahkan masyarakat dan membawa akibat yang buruk bagi Singapura.



Encik Leong menggesa pemerintah mengambil tindakan segera dan konkrit untuk mengembalikan keseimbangan dalam pasaran pekerjaan, antara lain dengan menaikkan gaji kelayakan bagi pemegang pas pekerjaan serta mengenakan levi pada pemegang Pas Pekerjaan (EP) setiap bulan.



Perdebatan bermula dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam serta Encik Leong mengambil masa lebih sejam bertikam lidah.



Encik Shanmugam meminta Encik Leong menjelaskan pendiriannya berhubung pelbagai isu termasuk FTA seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) dengan India.



Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng berkata beliau menentang usul PSP kerana ia tidak menyediakan penyelesaian yang diinginkan warga Singapura yang bimbang tentang pekerjaan dan persaingan.



"Cara untuk menangani kebimbangan warga Singapura tentang pekerjaan dan persaingan dalam ekonomi yang pesat berubah ialah untuk... terus melabur dengan meluas untuk membangunkan tenaga kerja setempat dan memastikan warga asing melengkapi dan bukan menggantikan warga setempat."



Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara) Sim Ann turut mengulangi bahawa pemerintah tidak tertarik khusus kepada pekerja dari mana-mana negara termasuk India dan hanya ingin memenuhi kepentingan warga Singapura.



Dr Tan turut memaklumkan bahawa 233 daripada 379 aduan diskriminasi di tempat kerja yang diterima Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) secara purata setiap tahun - atau sekitar 60 peratus aduan - dari 2014 hingga pertengahan pertama tahun ini adalah berdasarkan kewarganegaraan.



Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada pertanyaan AP buruh Patrick Tay (Pioneer).



Antara AP dan NMP lain yang menyertai perbahasan itu termasuk Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied); Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh); Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang); serta Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Encik Abdul Samad Abdul Wahab dan Cik Janet Ang.



Parlimen mengundi untuk meluluskan usul pemerintah - dengan pindaan yang diusul WP tidak diterima - dan menolak usul yang diajukan PSP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >